Pasaran getah dijangka kekal dalam jajaran kecil minggu depan

Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Pasaran getah Malaysia dijangka bergerak dalam jajaran kecil minggu depan susulan ketidaktentuan geopolitik dan rundingan tarif yang diperbaharui, yang terus menjejaskan minat belian global.

RINGKASAN BERITA AI
  • MARGMA: ketegangan di Asia Barat terus menekan sentimen pasaran.
  • Pasaran hadapan serantau untung selepas petunjuk ekonomi positif AS dan China, namun ketegangan menjejaskan sentimen.
  • Denis Low jangka aliran lemah minggu depan; bekalan dijangka melebihi permintaan, harga cenderung neutral.
  • Pembelian untuk menambah stok, bukan spekulasi, mengekalkan kestabilan; SMR20 naik 17 sen, lateks pukal turun 4 sen.

Persatuan Pengilang-Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), berkata ketegangan berterusan di Asia Barat dijangka terus memberi tekanan kepada sentimen pasaran.

“Walaupun pasaran hadapan serantau mencatatkan keuntungan minggu ini selepas menerima petunjuk ekonomi positif dari Amerika Syarikat dan China, ketegangan yang berterusan di Asia Barat masih mempengaruhi sentimen pasaran,” menurut MARGMA dalam satu kenyataan.

Sementara itu, pakar industri Denis Low menjangkakan pasaran getah diniagakan dalam aliran lemah minggu depan berikutan bekalan yang dijangka melebihi permintaan, menyebabkan harga cenderung bergerak secara neutral.

“Komoditi itu bertahan agak baik dengan keadaan bekalan dan permintaan yang seimbang. Walaupun terdapat ribut petir dan hujan lebat secara berkala di beberapa kawasan pengeluar getah seperti yang dijangkakan dalam tempoh peralihan monsun, keadaan ini masih boleh diuruskan,” katanya.

Menurut beliau, kebanyakan pembelian dibuat bagi menambah stok dan bukan untuk tujuan spekulasi, sekali gus membantu mengekalkan kestabilan pasaran.

Bagi tempoh Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 meningkat 17 sen kepada RM9.09 sekilogram, manakala lateks pukal turun empat sen kepada RM6.915 sekilogram.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.