Jun, Julai penanda aras nilai ketahanan ekonomi domestik Malaysia

    Jun dan Julai menjadi penanda aras penting bagi menilai ketahanan ekonomi domestik negara/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Situasi sepanjang Jun dan Julai ini akan menjadi penanda aras penting bagi menilai ketahanan ekonomi domestik negara dalam menghadapi tekanan inflasi dan ketidaktentuan bekalan yang dipengaruhi faktor luaran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kekurangan bekalan dijangka mencetuskan lonjakan harga dan meningkatkan kos operasi industri, yang mungkin dipindahkan kepada pengguna.
  • Permintaan domestik yang kukuh terus menyokong aktiviti ekonomi tetapi kenaikan kos sara hidup boleh menukar corak perbelanjaan pengguna.
  • Malaysia mempunyai asas ekonomi kukuh dan bersedia mengelak renjatan kritikal, namun tekanan berpanjangan boleh melambatkan pertumbuhan.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Profesor Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, dalam tempoh dua bulan ini akan berlaku kekurangan bekalan dan menyebabkan lonjakan harga akibat kuantiti barangan yang terhad berbanding sebelum ini.

Katanya, keadaan itu dijangka meningkatkan tekanan terhadap industri yang mungkin terpaksa menanggung kos operasi yang lebih tinggi sebelum memindahkannya kepada pengguna menerusi kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Tambah beliau, permintaan domestik yang masih kukuh dijangka terus menyokong aktiviti ekonomi negara, namun peningkatan kos sara hidup boleh memberi kesan kepada corak perbelanjaan pengguna sekiranya harga terus meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Apa yang penting kita lihat dalam masa dua bulan ini, ketahanan, kerentanan ekonomi domestik itu sendiri.

“Kita pernah mengalami situasi kritikal beberapa tahun lepas masa pandemik Covid-19 apabila berlaku keputusan, rantaian bekalan yang putus dan juga tidak berlaku, peningkatan ekonomi yang positif dan kita bersiaga dalam memastikan bekalan makanan mencukupi keadaan inflasi dikawal.

“Oleh itu, dalam situasi seperti ini, sudah tentu kerajaan sudah lebih bersedia, rakyat pun sudah belajar daripada apa yang berlaku dulu,” katanya semasa Program Biz Malaysia, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia bagaimanapun memiliki asas ekonomi yang kukuh dan masih berjaya mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi sebanyak 54% selain keadaan inflasi yang masih terkawal sekitar 1.7%.

Dalam situasi seperti itu, Malaysia sebenarnya bersedia untuk memastikan tidak berlakunya renjatan ekonomi yang kritikal.

“Namun sudah tentulah kalau ia berlarutan dengan lama, maka pertumbuhan ekonomi itu sendiri boleh terjejas. Mungkin tidak kemelesetan berlaku tetapi pertumbuhan agak perlahan daripada yang dijangkakan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.