
KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Mekanisme verifikasi peniaga di platform e-dagang perlu dipertimbangkan bagi menangani lambakan produk import serta memastikan persaingan lebih adil antara peniaga tempatan dan luar negara.
- Lambakan produk import beri manfaat harga rendah tetapi berisiko tidak memenuhi piawaian SIRIM, membahayakan pengguna.
- Perlu kesamarataan regulatori antara peniaga tempatan dan penjual luar negara di platform e-dagang.
- Libat urus dengan pemain industri dan pertubuhan perlu diperluas bagi membentuk kerangka pengawalseliaan jelas.
- Kempen kesedaran pengguna mengenai risiko produk tidak mematuhi piawaian perlu dipergiat bersama kerajaan dan media.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Mohamad Sirajuddin Jalil berkata, langkah itu penting bagi meningkatkan ketelusan dalam ekosistem e-dagang, khususnya untuk mengenal pasti status peniaga sama ada tempatan atau luar negara.
Menurutnya, isu lambakan produk import perlu ditangani secara menyeluruh berikutan perubahan corak pembelian pengguna yang semakin dipengaruhi perkembangan platform e-dagang.
“Kesan langsung lambakan produk import di negara kita boleh dilihat daripada dua sudut. Pertama, dari sudut manfaat kepada pengguna, ia memberi kesan kepada harga belian kerana produk berkenaan ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding produk yang dihasilkan dalam negara.
Tetapi dari sudut risiko, produk yang dibeli berpotensi tidak memenuhi piawaian ditetapkan di negara kita seperti SIRIM dan boleh memberi risiko kepada pengguna,” katanya kepada RTM.
Mohamad Sirajuddin berkata, peningkatan pembelian menerusi platform e-dagang turut memerlukan pendekatan kawal selia yang mengambil kira kedudukan peniaga tempatan dan penjual dari luar negara.
“Kami mencadangkan kerajaan meneliti soal kesamarataan regulatori antara peniaga tempatan dengan peniaga e-dagang dari luar negara.
Satu mekanisme verifikasi peniaga, sama ada peniaga tempatan atau luar negara, perlu dilaksanakan bersama semua platform e-dagang utama di negara kita,” katanya.
Beliau berkata, sesi libat urus bersama pemain industri, pengusaha e-dagang dan pertubuhan berkaitan perlu diperluas bagi membentuk kerangka yang lebih jelas untuk menangani isu berkenaan.
Pada masa sama, kempen kesedaran kepada pengguna mengenai risiko membeli produk yang tidak mematuhi piawaian keselamatan negara perlu dipergiat menerusi kerjasama kerajaan, media dan pihak berkaitan.
Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, setiap cadangan daripada pemain industri dan pemegang taruh akan diteliti untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Kabinet Bagi Memperkasakan Penggunaan dan Pembelian Produk Tempatan.
Jawatankuasa itu ditubuhkan pada 17 Julai lalu bagi menangani isu berkaitan penggunaan dan pembelian produk tempatan menerusi kerjasama kementerian serta agensi berkaitan.
Antara objektif penubuhannya adalah meningkatkan pertumbuhan dan nilai sumbangan produk tempatan selain mengurangkan kebergantungan terhadap produk import.