10,000 Sukarelawan SUKMA Selangor terima elaun RM100 sehari

Foto RTM

SEPANG, 9 Ogos – Kira-kira 10,000 sukarelawan yang membantu menjayakan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 akan menerima elaun tugas dan makan RM100 sehari, selain elaun pengangkutan RM100 secara sekali bayar serta perlindungan insurans sehingga RM10,000.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan negeri menghargai masa, tenaga dan komitmen sukarelawan; Amirudin bangga dengan semangat pengorbanan warga Selangor.
  • Setiap sukarelawan menerima baju dan kad akreditasi untuk memudahkan urusan sepanjang melaksanakan tugas.
  • Seorang penyelaras akan dilantik, kemungkinan daripada kalangan Exco atau Ahli Dewan Undangan Negeri, untuk memantau kebajikan sukarelawan.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pemberian itu merupakan tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap masa, tenaga dan komitmen sukarelawan yang menjadi antara tonggak penting kelancaran temasya.

Katanya, selain insentif berkenaan, setiap sukarelawan turut menerima baju dan kad akreditasi bagi memudahkan urusan sepanjang menjalankan tugas.

“Walaupun namanya sukarelawan, saya tahu tidak ada benda yang kita akan berikan sepenuhnya secara percuma. Anda berikan masa, anda berikan komitmen dan anda berikan harga yang sangat tinggi untuk kejayaan kita semua.

“Ini terlalu sedikit yang kita berikan bagi saya untuk sebuah negeri, negeri Selangor, tetapi saya bangga kerana anda semua tunjukkan bahawa orang Selangor bukan materialistik semata-mata, kita mempunyai nilai pengorbanan yang tinggi demi cintakan negeri dan sayangkan negeri kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Larian Obor SUKMA Ke-22 sempena Hari Tanpa Kenderaan Majlis Perbandaran Sepang dan Himpunan Mega Sukarelawan SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026, di sini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan seorang penyelaras akan dilantik bagi memantau kebajikan dan keperluan kira-kira 10,000 sukarelawan sepanjang mereka menjalankan tugas.

Jelas beliau, individu yang bakal dilantik berkemungkinan terdiri daripada kalangan Exco Kerajaan Negeri atau mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri yang bersesuaian.

Beliau berkata pelantikan itu penting bagi memastikan setiap gerak kerja dan kebajikan para sukarelawan sentiasa terjaga memandangkan mereka merupakan nadi penting kepada kelancaran temasya sukan berkenaan.

SUKMA Selangor 2026 akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, membabitkan 37 jenis sukan dan 474 acara di seluruh negeri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.