
PUTRAJAYA, 9 Ogos -Star City FC menyasarkan pembentukan identiti kelab yang lebih kukuh dalam usaha membina kelompok penyokong di utara tanah air, kata penaungnya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
- Proses membina identiti dan kelompok penyokong memerlukan masa; pendekatan mendekati peminat secara terus di luar stadium dilihat berkesan.
- Konvoi Jelajah motosikal berkuasa tinggi lapan hari diperkenalkan untuk memperkenalkan identiti baharu dan mengeratkan hubungan dengan komuniti bola sepak.
- Kelab dijenamakan semula daripada Imigresen FC; sasar kedudukan tiga terbaik Liga Super 2026/2027 selepas tamat di tangga keenam musim lalu.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri itu berkata usaha berkenaan penting bagi pasukan yang masih baharu dalam Liga Super untuk membina tapak sokongan berasaskan identiti kelab, berbanding sokongan yang selama ini lebih tertumpu kepada identiti negeri.
Saifuddin Nasution berkata proses membina identiti dan kelompok penyokong bagi kelab yang berpangkalan di utara tanah air itu memerlukan masa, dan pendekatan mendekati peminat secara terus di luar stadium adalah tindakan yang baik.
“Identiti kelab itu masih baharu. Kita mahu membina tapak sokongan yang berasaskan kelab berbanding identiti negeri dan ia mengambil masa sedikit.
“Sebab itu kami pilih utara, kerana kebetulan Kedah dan Perlis tidak mempunyai pasukan yang beraksi dalam Liga Super musim ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelepasan Konvoi Jelajah Star City FC di sini, hari ini.
Konvoi Jelajah Star City FC melibatkan program jelajah motosikal berkuasa tinggi selama lapan hari itu diadakan untuk memperkenalkan identiti baharu kelab dan mengeratkan hubungan dengan komuniti bola sepak.
Star City FC juga akan mengadakan kunjungan hormat ke kelab-kelab Liga Super selain mengadakan beberapa program kemasyarakatan, penyerahan bakul makanan serta mengimarahkan institusi masjid.
Saifuddin Nasution berkata jelajah itu bukan sekadar bertujuan mempromosikan pasukan, malah memberikan peluang kepada Star City FC mendekati peminat bola sepak, kelab-kelab tempatan serta komuniti di sepanjang laluan.
“Kalau kita perkenalkan lebih awal pemain-pemain, mereka akan membina satu chemistry,” katanya.
Beliau berkata Star City FC kini memasuki musim kedua dalam Liga Super selepas musim lepas, beraksi menggunakan jenama Imigresen FC (IFC) sebelum dijenamakan semula.
Sebelum ini, beliau berkata IFC yang kini tampil dengan identiti baharu menyasarkan kedudukan kelompok tiga terbaik Liga Super musim 2026/2027.
Beliau berkata sasaran itu realistik selepas berjaya menamatkan kempen liga 2025/2026 di tangga keenam, walaupun merupakan pendatang baharu Liga Super. – BERNAMA