30,000 pengunjung dijangka meriahkan Karnival Jom Makan Ipoh 2026

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming melawat reruai pameran makanan sempena perasmian Karnival Jom Makan Ipoh 2026 – Foto Bernama

IPOH, 9 Ogos – Lebih 30,000 pengunjung dijangka memeriahkan Karnival Jom Makan Ipoh 2026 selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Ogos di PALO 101, Ipoh.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, karnival julung kali diadakan itu menggabungkan elemen makanan, sejarah, warisan dan pelancongan dalam usaha mempromosikan Ipoh sebagai destinasi gastronomi.

Menurutnya, lebih 50 gerai makanan dan produk pertanian akan mengambil bahagian, selain persembahan kebudayaan, pameran dan pelbagai aktiviti berkaitan warisan makanan tempatan.

Enam Peta Makanan Ipoh berasaskan kod QR turut diperkenalkan bagi membolehkan pelancong mendapatkan maklumat mengenai lokasi makanan dan restoran di sekitar bandar raya itu.

“Kita juga akan masukkan laman media rasmi dan laman web rasmi. Pelancong pada bila-bila masa boleh imbas kod QR dan dapat peta makanan. Peta makanan juga akan dipasang di kawasan DUN Kepayang, khususnya di kawasan pekan dan pekan lama Ipoh. Sama seperti yang kita lakukan dengan Jejak Warisan The Heritage Trail dekat Ipoh Old Town,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian karnival berkenaan di sini.

Sementara itu, Nga berkata, penganjuran Karnival Jom Makan Ipoh 2026 dijangka memberi limpahan ekonomi kepada sektor makanan dan minuman, perhotelan, pengangkutan serta perniagaan berkaitan.

Perak merekodkan 10.1 juta pelancong domestik pada 2025.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.