
KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Pelaksanaan audit forensik terhadap pelaburan bermasalah Lembaga Tabung Haji (TH) perlu menjadi antara keutamaan susulan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), bukan sekadar menentukan punca kerugian tetapi menilai secara kritikal keseluruhan proses membuat keputusan pelaburan, tadbir urus dan pengurusan risiko institusi itu.
- Audit forensik perlu memperincikan keputusan pelaburan, proses kelulusan, penilaian risiko dan kemungkinan konflik kepentingan.
- Audit harus membezakan kerugian akibat risiko biasa dengan kerugian berpunca daripada kelemahan tadbir urus atau perlakuan tidak wajar.
- Hasil audit mesti diterjemah kepada pembaharuan struktur, pemantauan dan mekanisme kelulusan serta tindakan terhadap kecuaian atau salah guna kuasa.
Felo Penyelidik Pusat Ekonomi Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin berkata, audit forensik mempunyai skop yang lebih mendalam berbanding audit kewangan biasa kerana ia akan memperincikan keputusan pelaburan, aspek kelulusan selain menentukan proses semakan dan penilaian risiko dilaksanakan sewajarnya.
Menurut beliau, audit forensik penting bagi membezakan antara kerugian yang berpunca daripada risiko pelaburan biasa dengan kerugian yang mungkin mempunyai kaitan dengan kelemahan tadbir urus.
Katanya, persoalan yang perlu dijawab bukan semata-mata jumlah kerugian, sebaliknya mengapa keputusan berkenaan dibuat sama ada berasaskan maklumat dan penilaian yang mencukupi serta sama ada wujud sebarang campur tangan yang menjejaskan proses membuat keputusan.
“Audit forensik biasanya akan meneliti dengan lebih mendalam bagaimana sesuatu keputusan pelaburan itu diputuskan, siapa yang meluluskannya, sama ada penilaian risiko telah dibuat dengan sewajarnya, dan juga sama ada wujud konflik berkepentingan atau adanya unsur kecuaian atau salah guna kuasa.
“Walau bagaimanapun, audit forensik ini tidak seharusnya menjadi sekadar usaha untuk mencari individu untuk dipersalahkan,” katanya ketika dihubungi RTM.
Katanya, hasil audit forensik seharusnya tidak sekadar mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab sekiranya wujud salah laku, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada pembaharuan struktur dan proses dalaman TH.
Menurutnya, sekiranya terdapat kelemahan dalam penilaian risiko, mekanisme kelulusan atau pemantauan pelaburan, perkara itu perlu diperbaiki secara sistemik bagi mengelakkan kelemahan sama berulang.
“Jadi persoalan utamanya adalah sama ada keputusan tersebut dibuat secara profesional, secara telus, secara telus, yang sudah melalui prosedur penelitian yang wajar dan tanpa campur tangan yang tidak sepatutnya.
“Sekiranya terdapat bukti unsur kecuaian berlaku, atau pecah amanah ataup salah guna kuasa, maka tindakan sewajarnya perlu diambil,” katanya.