Cabang baharu sukan memanah, Barebow Asia 2026 dijangka curi tumpuan

Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia, Datuk Abdul Hamid Abdul Hasan/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 20 April – Kejohanan Barebow Asia 2026 dijangka mencuri tumpuan apabila bakal menghimpunkan lebih 700 atlet dari 19 negara yang dijadualkan berlangsung dari 29 April hingga 3 Mei ini di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenaikan populariti barebow mencerminkan minat semakin meluas dalam kalangan pemanah di rantau Asia.
  • Barebow diiktiraf sebagai cabang baharu selain recurve dan compound dalam sukan memanah.
  • Penganjur memohon Majlis Olimpik Malaysia mempertimbangkan penyertaan barebow dalam Sukan SEA yang akan datang.
  • Kejohanan mempertandingkan 11 pingat merangkumi pelbagai kategori.

Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Abdul Hamid Abdul Hasan berkata, penganjuran edisi kali ini mencerminkan peningkatan populariti disiplin barebow yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pemanah di rantau Asia.

Menurutnya, barebow merupakan cabang baharu dalam sukan memanah selain recurve dan compound.

Perkembangan pesat acara tersebut membuka peluang untuk diperluaskan ke pentas lebih besar termasuk Sukan SEA.

“Selama ini kita hanya mengadakan dua acara iaitu acara Recurve dan Compound. Sekarang ni satu lagi acara untuk memanah ialah Barebow, yang mana buat masa ini Barebow begitu popular.

“Dengan sambutan yang amat menggalakkan, kita telah memohon kepada Majlis Olimpik Malaysia agar acara barebow dipertimbangkan untuk disenaraikan dalam temasya Sukan SEA akan datang,” katanya ketika ditemui RTM baru-baru ini.

Tambah beliau, sebanyak 11 pingat dipertandingkan merangkumi pelbagai kategori sepanjang kejohanan tersebut.