MPL MY: SRG kekal rekod tanpa kalah, tewaskan RRQ Tora 2-0

FOTO srg.esportsmy

KUALA LUMPUR, 18 April – Juara Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) empat kali berturut-turut, Selangor Red Giants (SRG) terus mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu liga musim ke-17 bagi minggu ketiga selepas menewaskan RRQ Tora 2-0 hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • SRG bergelut pada awal permainan pertama sebelum membina rentak.
  • SRG bangkit, memusnahkan kristal lawan dan menamatkan permainan pertama dalam 23 minit.
  • Momentum diteruskan; SRG menutup permainan kedua dalam hampir 25 minit.
  • SRG kini di kedudukan pertama dengan lima mata, manakala RRQ Tora kedua dengan empat mata.

Pada aksi yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah di sini, SRG yang dibarisi Mark Rusiana (Kram), Hazziq Danish (Stormie), Muhammad Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), John Vincent Banal (Innocent), dan Muhammad Danish Fitri Razman (Uni) dilihat bergelut pada awal permainan pertama.

Bagaimanapun, anak buah Michael Angelo Bocado (Arcadia) itu kembali bangkit pada penghujung perlawanan dan berjaya memusnahkan kristal lawan, sekali gus memenangi perlawanan dalam tempoh 23 minit.

Momentum itu kemudiannya diteruskan pada aksi kedua sehingga menyaksikan SRG menutup perlawanan kedua untuk menang aksi tersebut dalam tempoh hampir 25 minit.

Bagi Arcadia, meskipun gembira anak buahnya berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah pada musim ini, beliau mengakui masih ada ruang untuk penambahbaikan.

“Saya percaya pada perlawanan kedua kami boleh menamatkannya dengan lebih awal, tetapi kami melakukan beberapa kesalahan, namun agak bagus kerana kami tahu apa yang perlu dibaiki dan sudah pasti minggu hadapan akan lebih baik,” kata jurulatih dari Filipina itu selepas perlawanan.

Untuk rekod, SRG berada pada kedudukan pertama selepas mengumpul lima mata setelah lima perlawanan, manakala RRQ Tora menghuni tangga kedua dengan mengumpul empat mata selepas enam perlawanan.

MPL Malaysia musim ke-17 menawarkan dua tiket ke saingan Piala Pertengahan Musim, MSC 2026 yang menawarkan hadiah keseluruhan USD3 juta.- BERNAMA