
KUALA LUMPUR, 15 Jun – Penyelesaian isu perumahan penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara disifatkan sebagai detik bersejarah yang membuktikan golongan miskin bandar mampu mempertahankan hak melalui saluran perundangan yang sah.
- Kerajaan menghormati proses perundangan; tindakan diambil selepas keputusan mahkamah dan meneliti janji lama serta perjanjian sedia ada.
- Penyelesaian berpandukan kedaulatan undang-undang, kebajikan dan keadilan; tidak memberi contoh untuk menduduki tanah secara haram kemudian menuntut pemilikan.
- Kerajaan MADANI komited melindungi hak semua rakyat; pengiktirafan usaha, peranan agensi dan subsidi RM1 juta untuk penyelenggaraan tiga tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan komuniti berkenaan memperoleh keadilan dalam isu perumahan melalui proses undang-undang menjadikannya satu pencapaian yang amat bermakna.
“Sebenarnya hari ini bukan projek besar, tetapi kesannya dari segi sejarah, besar. Alhamdulillah, di sini saudara-saudara menang kerana pertahankan hak dan undang-undang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal Bagi Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, kerajaan menghormati sepenuhnya proses perundangan yang telah dilalui sebelum mengambil langkah menyelesaikan isu tersebut selepas keputusan mahkamah dibuat.
“Sebelum ini saya tidak berani campur tangan kerana menunggu proses undang-undang selesai. Apabila keputusan dibuat, kita perlu hormati keputusan itu dan mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Kita teliti masalah penduduk, janji-janji lama dan perjanjian yang telah dibuat sebelum ini sehingga akhirnya penyelesaian dapat dicapai,” katanya.
Beliau turut mengakui penderitaan dilalui penduduk yang telah menetap di rumah panjang tersebut sambil menegaskan, penyelesaian yang dicapai adalah berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang, kebajikan rakyat dan keadilan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kes tersebut tidak boleh dijadikan contoh mana-mana pihak untuk menduduki tanah secara haram dan kemudian menuntut hak pemilikan.
“Mereka mengikuti proses undang-undang dan hakim telah meneliti semua aspek sebelum membuat keputusan,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, kejayaan itu membuktikan bahawa Kerajaan MADANI komited melindungi hak semua rakyat tanpa mengira kaum.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan penjawat awam yang memainkan peranan penting dalam menjayakan penyelesaian tersebut.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan pemberian subsidi sebanyak RM1 juta sebagai inisiatif penyelenggaraan selama tempoh tiga tahun perumahan baharu Rumah Panjang Bukit Kiara dalam usaha meringankan beban penduduk terbabit.