
PUTRAJAYA, 15 Jun– Inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) memperkukuh perkhidmatan kesihatan dengan sasaran lapan daripada 10 pesakit menerima rawatan dalam tempoh kurang sejam.
- PERSADA memperkukuh perkhidmatan kesihatan dan mengurangkan masa menunggu pesakit di fasiliti awam.
- Skala pelaksanaan melibatkan 150 hospital kerajaan dan 2,488 klinik kesihatan awam di seluruh negara.
- KKM bergerak ke konsep One Citizen, One Record untuk mewujudkan rekod kesihatan yang lebih bersepadu dan menamatkan rekod manual.
- PERSADA dipacu empat komponen: jalur lebar fasiliti, pemerkasaan EMR, peluasan telekesihatan dan penggunaan dron bagi penghantaran perubatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelaksanaan inisiatif turut menyaksikan 63 peratus pesakit menunggu kurang daripada 30 minit untuk mendapatkan rawatan.
“Skala pelaksanaan platform PERSADA ini amat besar, melibatkan 150 buah hospital kerajaan dan 2,488 buah klinik kesihatan awam di seluruh negara,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini, hari ini.
Tambah Datuk Seri Dr Dzulkefly, KKM sedang bergerak ke arah pelaksanaan konsep One Citizen, One Record bagi mewujudkan rekod kesihatan yang lebih bersepadu.
“KKM bertekad untuk menoktahkan zaman penggunaan rekod manual dan laci kertas yang membebankan.
Pendigitalan hari ini bukan lagi sekadar alat sokongan atau pilihan, tetapi tulang belakang kepada kelangsungan reformasi sistem kesihatan negara kita,” ujarnya lagi.
Sehingga April lalu, seramai 4.21 juta individu telah didaftarkan dalam ekosistem digital kesihatan KKM dengan lebih 22.41 juta transaksi direkodkan.
Menurut Datuk Seri Dr Dzulkefly, PERSADA akan dipacu empat komponen utama.
Ia merangkumi peningkatan infrastruktur jalur lebar di fasiliti kesihatan awam, pemerkasaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR), peluasan telekesihatan dan penggunaan teknologi dron bagi penghantaran bekalan perubatan ke kawasan sukar diakses.
“Transformasi digital yang sebenar diukur apabila pesakit di kawasan paling pedalaman sekali pun mampu mendapatkan konsultasi kepakaran perubatan dari jauh tanpa berdepan kepayahan logistik,” katanya lagi.