
PUTRAJAYA, 15 Jun– Kos penghantaran ubat kepada kira-kira 80,000 pesakit setiap bulan akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan menerusi Program Ubat Melalui Pos (UMP) yang dijangka bermula Julai ini.
- Kementerian Komunikasi dan MCMC menanggung sepenuhnya kos penghantaran ubat.
- Anggaran kos penghantaran ialah RM5.69 juta setahun.
- KKM menentukan kelayakan penerima manakala Pos Malaysia mengendalikan penghantaran di bawah lesen MCMC.
- NADI diperkasakan untuk sokong telekesihatan, membolehkan pemeriksaan asas dan perhubungan jarak jauh dengan petugas kesihatan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif hasil kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu melibatkan anggaran kos RM5.69 juta setahun.
Menurut beliau, kos penghantaran berkenaan akan ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Komunikasi dan MCMC.
“Kita harap menjelang Julai ini ia dapat dilaksanakan di setiap negeri.
Kos penghantaran tidak perlu lagi ditanggung oleh pesakit kerana akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara KKM dan MCMC bagi inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) di sini, hari ini.
Menurut Datuk Fahmi, pemilihan penerima manfaat akan ditentukan sepenuhnya oleh KKM mengikut syarat kelayakan bawah program UMP.
Jelas beliau, perkhidmatan penghantaran pula akan dikendalikan oleh Pos Malaysia sebagai pemegang lesen bawah MCMC.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) akan terus diperkasakan bagi menyokong perkhidmatan telekesihatan terutama di kawasan luar bandar.
“Kemudahan itu membolehkan penduduk menjalani pemeriksaan asas seperti tekanan darah dan paras gula.
Ia juga membolehkan masyarakat berhubung dengan petugas kesihatan melalui kemudahan teleperubatan tanpa perlu melakukan perjalanan jauh ke hospital atau klinik,” ujarnya lagi.