Piala Malaysia: Kuching City lakar sejarah mara ke pentas akhir buat kali pertama

Pemain Kuching City FC meraikan jaringan gol ketiga ketika perlawanan Liga Super di Stadium Negeri / BERNAMA

KUCHING, 18 April – Kuching City FC melakar sejarah tersendiri apabila mara ke final Piala Malaysia buat kali pertama selepas menewaskan Selangor FC dengan agregat 2-1 pada aksi separuh akhir di Stadium Negeri di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kuching City menang 1-0 pada aksi separuh akhir kedua selepas kedua pasukan seri 1-1 pada aksi pertama.
  • Petrus Shitembi menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-30.
  • Selangor tinggal sembilan pemain selepas Mohammad Safuwan dan Muhammad Mukhairi dilayangkan kad merah.
  • Kuching City akan berdepan JDT pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Mei.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu mencatat kemenangan 1-0 pada aksi separuh akhir kedua selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 5 April lepas.

Pada pertemuan hari ini, Kuching City memperoleh gol kemenangan menerusi jaringan Petrus Shitembi pada minit ke-30.

Selangor sekali lagi ditimpa malang apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain pada minit ke-52 selepas kapten skuad Gergasi Merah Mohammad Safuwan Baharudin dilayangkan kad merah setelah semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan beliau melakukan kesalahan menghalang peluang jaringan.

Skuad bimbingan Kim Pan Gon itu terus dirundung malang apabila seorang lagi pemain Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi dibuang padang 11 minit kemudian susulan terjahan keras, sekali gus memaksa Selangor beraksi dengan sembilan pemain.

Kelebihan itu bagaimanapun gagal dimanfaatkan Kuching City untuk menambah jaringan, sekali gus menyaksikan keputusan 1-0 kekal hingga wisel penamat.

Kuching City bakal berdepan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), yang menepati ramalan menewaskan Kuala Lumpur City FC dengan agregat 8-1 pada perlawanan akhir Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Mei ini.- BERNAMA