Bola Sepak Piala Menteri Pendidikan 2026: SMK Taman Desa tewaskan SSTMI 2-0

SMK Taman Desa tewaskan SSTMI 2-0 pada aksi pembukaan kumpulan C. Foto/penganjur kejohanan.

KOTA TINGGI, 15 JUN – Juara bertahan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Desa memulakan kempen Liga Bola Sepak Piala Menteri Pendidikan 2026 Bawah 14 Tahun dengan langkah kanan selepas menewaskan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) 2-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan C.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mohamad Hadif Mursi menjaringkan gol pada minit ke-32; Muhd Shahin Amsyar menambah gol pada masa kecederaan.
  • Pengendali Rodolfo Pereda Villa mengakui pemain sedikit gemuruh dan mengingatkan setiap kesilapan beri kesan besar musim enam perlawanan.
  • SMK Taman Desa kini berkongsi tiga mata dengan SMK Tun Hussein Onn yang menewaskan SMK Za'ba 1-0.
  • Kejohanan melibatkan 24 pasukan dibahagikan kepada empat kumpulan, format liga sepusingan; dua pasukan terbaik setiap kumpulan mara ke suku akhir.

Perlawanan di Padang Sintetik SSTMI itu menyaksikan Mohamad Hadif Mursi Mohd Hafidz membuka jaringan gol pada minit ke-32 sebelum Muhd Shahin Amsyar Muhd Shafarizan menambah gol kedua pada masa kecederaan untuk memastikan tiga mata pertama menjadi milik mereka.

Pengendali SMK Taman Desa, Rodolfo Pereda Villa dalam kenyataan mengakui anak buahnya memulakan perlawanan dengan agak perlahan akibat tekanan dan gemuruh pada aksi pertama musim ini.

“Pemain sedikit gemuruh, namun perkara seperti ini adalah normal bukan sahaja di peringkat bawah 14 tahun malah turut berlaku dalam bola sepak profesional.

“Saya sentiasa mengingatkan pemain bahawa setiap kesilapan boleh memberi kesan besar kerana musim ini hanya melibatkan enam perlawanan. Standard kami adalah untuk mempertahankan kejuaraan dan semua pihak perlu bersedia memikul tanggungjawab tersebut,” katanya.

Kemenangan itu meletakkan SMK Taman Desa berkongsi tiga mata dengan SMK Tun Hussein Onn yang menewaskan SMK Za’ba 1-0 menerusi jaringan Muhd Haikal Iqbal Mashuri.

Sementara itu, dalam Kumpulan B, SMK Seri Titiwangsa turut memulakan kempen dengan kemenangan selepas menewaskan SMK Seksyen 11 Shah Alam 1-0 di Arena Sukan Azman Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Gol tunggal perlawanan dijaringkan Muhd Aqeef Izdiyad Norasmawi pada minit ke-37.

Dalam saingan Kumpulan A, SMK Gunung Rapat mendahului carta menerusi perbezaan gol selepas menewaskan SMK Mergong 2-0, manakala SMK Shah Alam mengatasi SMK Syed Hassan 1-0.

Kumpulan D pula diterajui Akademi Mokhtar Dahari Bawah 14 Tahun selepas mencatat kemenangan 4-0, menewaskan SMK Seberang Temerloh.

Liga Bola Sepak Piala Menteri Pendidikan 2026 melibatkan 24 pasukan yang dibahagikan kepada empat kumpulan.

Saingan menggunakan format liga sepusingan dengan dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke peringkat suku akhir bagi merebut gelaran juara musim ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.