
KUALA LUMPUR, 18 April – Terengganu Hockey Team (THT) kempunan untuk meraih kemenangan sulung selepas diikat seri 1-1 oleh Maybank dalam aksi kedua Kategori Premier, Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2026 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
- Kapten Mohd Fitri Saari mahu tingkatkan kualiti membuat keputusan dan latihan hadapi taktik 'kicking back' lawan.
- Mohd Fitri Saari menjaringkan gol padang pada minit ke-42 untuk meletakkan THT di hadapan.
- Muhamad Kamarulzaman menjaringkan gol penyamaan beberapa saat sebelum wisel penamat, memaksa kedua-dua pasukan berkongsi mata.
Kapten pasukan THT, Mohd Fitri Saari berkata meskipun prestasi pasukan secara keseluruhan amat memberangsangkan,namun keputusan tidak memihak kepada mereka dan berharap dapat memperbaiki kelemahan yang ada bagi memastikan THT kembali ke landasan kemenangan dalam perlawanan seterusnya.
“Kita perlu meningkatkan kualiti membuat keputusan (decision making) dan saya berharap pasukan lebih bersedia untuk berdepan taktik ‘kicking back’ daripada pihak lawan menerusi latihan intensif kerana apa yang paling utama ketika ini adalah ketajaman dalam membuat keputusan di atas padang,” katanya.
Perlawanan yang berlangsung pada Jumaat itu berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan balas namun, kebuntuan hanya berjaya dipecahkan pada minit ke-42 menerusi jaringan padang yang disempurnakan oleh Mohd Fitri Saari, sekali gus meletakkan THT di hadapan.
Kemenangan yang hampir pasti dalam genggaman THT bagaimanapun musnah di saat-saat akhir apabila Muhamad Kamarulzaman Kamaruddin muncul wira buat Maybank apabila meledak gol penyamaan hanya beberapa saat sebelum wisel penamat ditiupkan, sekali gus memaksa kedua-dua pasukan berkongsi mata.
Keputusan seri itu meletakkan THT dikedudukan keempat dengan satu mata selepas dua perlawanan sementara Maybank kini dikedudukan kedua dengan keseluruhan empat mata.
Dalam satu lagi aksi, TNB Thunderstars kekal di puncak liga apabila meraih kemenangan kedua berturut-turut menewaskan TNB Thunderbolts, 8-2 dengan keseluruhan enam mata.