85 peratus rakyat nikmati diesel dengan harga subsidi – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, 85 peratus rakyat masih menikmati diesel dengan harga bersubsidi. Foto RTM

PENGKALAN CHEPA, 18 April – Dasar subsidi bahan api khususnya diesel, masih memberi manfaat kepada majoriti rakyat termasuk golongan nelayan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dasar subsidi diesel terus memberi manfaat kepada majoriti rakyat serta golongan nelayan.
  • Kenaikan harga diesel memberi kesan kepada sebahagian kecil rakyat; isu ini sering ditekankan secara berlebihan.
  • Beberapa kategori pengangkutan, termasuk bas sekolah, dikecualikan daripada kenaikan harga diesel.
  • Kerajaan sedang meneliti langkah tambahan untuk mengurangkan beban rakyat dalam ekonomi global mencabar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan harga diesel ketika ini, memberi kesan kepada 15 peratus rakyat.

Namun 85 peratus rakyat tidak terkesan dengan harga pasaran diesel kerana masih menikmati subsidi.

“Saya telah membuat kajian semalam dan mendapati bahawa kenaikan harga minyak diesel itu sebenarnya memberi kesan kepada siapa? Hanya sekitar 15 peratus rakyat sahaja. Manakala 85 peratus rakyat pula tidak menggunakan diesel pada harga pasaran, sebaliknya masih menikmati harga subsidi. Namun, seperti yang kita maklum, perkara yang sering dihebahkan hanyalah tentang 15 peratus yang terkesan, sedangkan 85 peratus yang tidak terkesan itu langsung tidak disebut.

“Jadi, jika mahu saya berikan cadangan, saya setuju bahawa memang ada pihak yang terkesan. Tadi saya telah berbincang dengan Saudara Loke (Menteri Pengangkutan), dan memang benar sektor pengangkutan ada yang terlibat. Namun begitu, bas sekolah dikecualikan, dan banyak lagi kategori pengangkutan lain juga turut dikecualikan.

“Tetapi saya lihat di DUN, ada pihak yang kelihatan marah kerana mengatakan nelayan turut terkesan. Sedangkan hakikatnya, nelayan menggunakan diesel pada harga subsidi, bukannya pada harga diesel pasaran,” katanya ketika berucap merasmikan Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini, hari ini.

Sehubungan itu beliau berkata kerajaan sedang meneliti langkah tambahan bagi mengurangkan beban rakyat dalam keadaan ekonomi global yang mencabar.