Petronas runding dengan Rusia pastikan bekalan minyak negara mencukupi

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

PENGKALAN CHEPA, 18 April -Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan berunding dengan Rusia bagi mendapatkan bekalan minyak untuk memastikan ia mencukupi bagi kegunaan rakyat negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Negara-negara Eropah dan Amerika yang sebelum ini menyekat Rusia kini berebut membeli minyak Rusia.
  • Diplomasi awal kerajaan memastikan kapal minyak negara antara yang terawal melepasi laluan kritikal Selat Hormuz, mengelakkan gangguan besar rantaian tenaga.
  • Kapal minyak tiba di Pengerang sebagai yang pertama; pemprosesan minyak hanya boleh dilakukan di fasiliti Pengerang.
  • Ketegangan serantau belum selesai: tekanan AS, pembelaan hak Iran dan tuntutan Eropah mengenai masa depan Selat Hormuz.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini banyak negara Eropah dan Amerika yang dahulu menyekat Rusia terpaksa berebut membeli minyak dari negara berkenaan.

Malah, beliau berkata tindakan diplomasi awal kerajaan telah berjaya memastikan kapal minyak negara menjadi antara yang terawal melepasi laluan kritikal di Selat Hormuz. Perkara itu sekali gus mengelakkan gangguan besar terhadap rantaian bekalan tenaga negara.

“Alhamdulillah, kapal minyak Petronas semalam telah tiba di Pengerang sebagai kapal pertama yang sampai ke destinasi tersebut. Ketibaan di Pengerang adalah kerana proses pemprosesan minyak hanya dapat dilakukan di fasiliti di Pengerang.

“Kapal ini merupakan antara yang terawal diberikan laluan. Namun, situasi semasa masih belum menemui penyelesaian muktamad berhubung ketegangan antara tekanan Amerika Syarikat yang berusaha menguasai rantau tersebut, Iran yang mempertahankan haknya, serta tuntutan negara-negara Eropah berkaitan masa depan Selat Hormuz,” katanya ketika berucap pada pada Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Mengulas lanjut Datuk Seri Anwar menjelaskan, masih terdapat beberapa kapal negara yang berdepan masalah termasuk kelewatan dan kerosakan, namun usaha sedang giat dijalankan dalam usaha menyelesaikannya.