LTSIP berpotensi diangkat sebagai hab serantau, bawa limpahan ekonomi

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Kota Bharu. Foto RTM

KOTA BHARU, 18 April – Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) berpotensi diangkat sebagai hab serantau yang strategik termasuk bagi pasaran Selatan Thailand, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perancangan strategik dan jaringan antarabangsa dapat membawa limpahan manfaat ekonomi kepada Kelantan.
  • Pendekatan terbuka terhadap pembangunan infrastruktur pengangkutan menyokong rakyat tempatan dan pertumbuhan ekonomi negara.
  • Terminal baharu dilengkapi lebih 20 kaunter, parkir bertingkat, laluan teksi, balai bomba, ruang parkir pesawat dan operasi tanpa tunai.
  • Projek naik taraf bernilai RM440 juta meningkatkan kapasiti kepada empat juta penumpang setahun, dari 1.5 juta sebelumnya.

“Melalui perancangan strategik yang tepat, pembukaan jaringan pengangkutan antarabangsa dari LTSIP ke bandar-bandar utama seperti Singapura, Jakarta (Indonesia) dan Bangkok (Thailand) bakal membawa limpahan manfaat ekonomi yang besar kepada Kelantan,” kata Datuk Seri Anwar ketika berucap pada majlis perasmian terminal baharu LTSIP) di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata pendekatan lebih terbuka dalam menyokong pembangunan infrastruktur pengangkutan sedemikian bukan sahaja memberi kelebihan kepada rakyat tempatan, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh.

“Selain daripada memenuhi keperluan rakyat yang memanfaatkan kemudahan ini, ia adalah satu keperluan untuk kita meningkatkan kegiatan ekonomi, perdagangan, dan pelancongan.

“Potensi yang ada pada Kelantan tidak mungkin terpinggir atau terabai jika kita memberikan sedikit perhatian dan tumpuan,” katanya.

Terminal baharu LTSIP dilengkapi lebih 20 kaunter penerbangan, kemudahan parkir bertingkat, laluan khas pemandu teksi, balai bomba dan penyelamat terminal, pertambahan ruang parkir pesawat serta sistem operasi tanpa tunai bagi meningkatkan kecekapan dan keselesaan penumpang.

Projek pembesaran dan naik taraf LTSIP melibatkan kos RM440 juta dan dijangka mampu menampung hingga empat juta penumpang setahun, meningkat berbanding kapasiti 1.5 juta sebelum ini.