
KUALA LUMPUR, 18 April -Kementerian Ekonomi memantau rapi perkembangan semasa susulan pembukaan semula Selat Hormuz, yang dilihat sebagai perkembangan penting dalam memastikan kelancaran bekalan global.
- Komitmen Iran membuka Selat Hormuz memberi isyarat positif kepada pasaran.
- Membantu memastikan kelancaran aliran perdagangan komoditi utama seperti minyak dan gas.
- Meredakan kebimbangan terhadap gangguan bekalan dan menyokong kestabilan harga tenaga.
- Kerajaan menekankan penilaian impak menyeluruh dan tahap kesiapsiagaan negara.
Menurut Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, komitmen yang diberikan pihak Iran agar membuka laluan strategik tersebut sepanjang tempoh gencatan senjata memberi isyarat positif kepada pasaran.
Beliau berkata, langkah itu penting dalam memastikan kelancaran aliran perdagangan komoditi utama seperti minyak dan gas, sekali gus membantu menjamin kestabilan bekalan global.
“Seperti yang kita maklum, pasaran ketika ini masih tidak stabil dengan pergerakan turun naik yang ketara. Namun pada masa sama, persiapan negara perlu mengambil kira impak secara menyeluruh, dengan keutamaan diberikan kepada jaminan bekalan serta memastikan kegiatan ekonomi terus berlangsung seperti yang diharapkan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Majlis The National Investment Programme (NIP), di sini.
Tambahnya, walaupun pasaran kekal tidak stabil, langkah pembukaan semula laluan itu membantu meredakan kebimbangan terhadap gangguan bekalan global.
Perkembangan tersebut turut menyokong kestabilan harga tenaga serta memastikan kesinambungan aktiviti ekonomi dapat dikekalkan.
Pada masa sama, kerajaan menegaskan keperluan untuk terus menilai impak secara menyeluruh serta memastikan tahap kesiapsiagaan negara kekal kukuh dalam menghadapi sebarang perkembangan geopolitik.