Malaysia percepat peralihan tenaga boleh baharu, kekal kestabilan bekalan elektrik negara

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR, 18 April -Malaysia akan terus mempercepat peralihan ke arah tenaga boleh baharu (RE), sambil mengekalkan kestabilan sistem tenaga negara sebagai asas daya tahan ekonomi masa depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keupayaan kendiri gas asli membolehkan Malaysia menjamin kestabilan penjanaan dan kapasiti bekalan elektrik.
  • Reformasi subsidi diperlukan untuk memperbaiki isyarat pasaran, mengurangkan beban fiskal dan menyalurkan bantuan lebih bersasar.
  • Malaysia komited capai pelepasan karbon sifar bersih 2050, percepat pembangunan RE serta pengukuhan grid nasional dan kerjasama Grid Kuasa Asia.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kelebihan sumber tenaga domestik khususnya gas asli membolehkan negara menjamin kestabilan bekalan elektrik daripada segi penjanaan dan kapasiti.

“Dari segi gas, Malaysia mempunyai kemampuan kendiri. Justeru, dari sudut penjanaan elektrik, kita mampu menjamin kestabilan bekalan.

“Bagaimanapun, bagi bahan api cecair, negara masih bergantung kepada import dan perlu diurus dengan berkesan. Pengajaran utama sebagai ekonomi membangun adalah memastikan isyarat pasaran yang tepat dapat disampaikan,” katanya

pada sesi Mesyuarat Musim Bunga (mesyuarat tahunan pertama) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bertajuk “Masa Depan Integrasi Ekonomi dalam Dunia yang Berpecah-belah.

Pada masa sama, beliau menegaskan keperluan pembaharuan subsidi bagi memastikan isyarat pasaran lebih tepat, selain mengurangkan tekanan terhadap kedudukan fiskal negara.

Menurutnya, pendekatan subsidi berskala besar sebelum ini memberi beban kewangan tinggi, justeru penstrukturan semula diperlukan supaya bantuan dapat disalurkan secara lebih bersasar kepada golongan berpendapatan rendah, khususnya dalam menangani inflasi.

Mengulas hala tuju jangka panjang, Datuk Seri Amir menegaskan komitmen Malaysia untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, termasuk mempercepat pembangunan RE dan pengukuhan grid nasional.

Selain itu, kerjasama serantau menerusi projek Grid Kuasa Asia dilihat mampu meningkatkan kecekapan sistem tenaga serta memperkukuh kestabilan bekalan di rantau ini.