Kadar inflasi rendah Malaysia jadi penampan impak krisis tenaga global

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour ketika ditemu bual CNBC di Washington.

KUALA LUMPUR, 18 April – Kadar inflasi Malaysia yang kekal rendah dijangka menjadi penampan kepada impak kejutan bekalan tenaga, meskipun harga minyak global diunjurkan terus tinggi dalam tempoh lebih panjang susulan konflik berpanjangan di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • BNM menjangka inflasi keseluruhan purata 1.5 hingga 2.5 peratus pada 2026.
  • Kejutan bekalan punca utama; impak harga domestik bergantung kepada tempoh konflik, paras minyak dan kerosakan infrastruktur.
  • Harga minyak dijangka kekal tinggi untuk tempoh panjang walaupun perang tamat dalam beberapa minggu.
  • Subsidi BUDI95 dan eksport elektrik serta elektronik, dipacu oleh permintaan AI, membantu mengurangkan kesan kos global.

Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, inflasi keseluruhan diunjurkan berada pada purata antara 1.5 hingga 2.5 peratus pada 2026, dengan keadaan semasa mencerminkan kejutan berpunca daripada bekalan apabila perkembangan dalam pasaran tenaga global mula mempengaruhi pergerakan harga domestik.

“Situasi yang dihadapi ketika ini merupakan kejutan bekalan, dan kesannya terhadap harga domestik bergantung kepada sejauh mana konflik berlarutan, paras harga minyak serta tahap kerosakan terhadap infrastruktur dan pengeluaran,” katanya kepada CNBC dalam temu bual di Washington.

Beliau merupakan sebahagian daripada delegasi Malaysia yang diketuai oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada 2026 Spring Meetings yang berlangsung dari 13 April dan berakhir hari ini di ibu pejabat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia di Washington.

Tambahnya, harga minyak dijangka kekal tinggi untuk tempoh yang panjang walaupun perang berakhir dalam beberapa minggu akan datang.

Beliau turut menjelaskan, walaupun harga minyak meningkat, subsidi bahan api kepada kumpulan tertentu di bawah BUDI95 akan membantu mengurangkan impak perubahan kos global terhadap harga dalam negara.

Mengenai prestasi eksport, beliau memaklumkan, ia disokong terutamanya oleh permintaan berterusan terhadap sektor elektrik dan elektronik yang didorong oleh perkembangan pesat dalam bidang kecerdasan buatan.