Elak dadah, robek masa depan belia

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Dadah merosakkan kesihatan, keharmonian keluarga, potensi belia dan masa depan negara.
  • Banteras dadah memerlukan kerjasama ibu bapa, sekolah, komuniti, pemimpin dan pihak berkuasa.
  • Pencegahan melalui komunikasi keluarga, pendidikan kreatif di sekolah dan sokongan komuniti kepada bekas penagih.

Laporan bahawa hampir 70 peratus belia berusia 19 hingga 40 tahun dikesan terlibat dengan penyalahgunaan dadah sintetik di seluruh negara menunjukkan, ia satu masalah yang cukup serius dan jika tidak bertindak segera boleh menghancurkan masa depan belia di negara ini.

Menurut Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) trend serius dalam kalangan remaja antara lain berpunya daripada dadah sintetik yang semakin mudah untuk diperolehi.

Laporan turut mendedahkan penagihan dadah kini bermula seawal usia 12 tahun dan sudah semestinya bencana sosial ini boleh merobek hala tuju dan masa depan negara secara keseluruhannya kelak.

Ironinya, usaha membanteras dadah dan menangani masalah ini khususnya dalam kalangan belia tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu pihak berkuasa seperti AADK dan polis.

Sebaliknya memerlukan kerjasama dan komitmen semua lapisan anggota masyarakat mencakupi komuniti dan pemimpin setempat, guru dan sekolah, belia dan sudah semestinya para ibu bapa.

Secara umum, dadah bukan sekadar memusnahkan kesihatan fizikal dan mental, tetapi turut merobek keharmonian institusi keluarga, menghancurkan potensi dan masa depan belia selain meningkatkan pelbagai masalah gejala sosial lain dalam komuniti.

Sedar atau tidak, ramai belia yang terjebak akhirnya hilang fokus terhadap pelajaran, pekerjaan dan kehidupan. Penglibatan dalam najis dadah juga mendorong mereka mudah terlibat dengan pelbagai jenayah seperti mencuri, gangsterisme serta penipuan demi mendapatkan wang untuk membeli dadah.

Kesan terhadap negara juga sangat besar, misalnya kerajaan terpaksa menanggung kos tinggi untuk rawatan, pemulihan dan penguatkuasaan undang-undang.

Pada masa sama, produktiviti negara turut terjejas apabila ramai belia yang sepatutnya menyumbang kepada ekonomi akhirnya hanyut dalam kancah penagihan dadah.

Oleh itu, usaha menangani isu dadah bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, tetapi memerlukan penglibatan menyeluruh semua pihak.

Sebagai individu yang paling rapat dengan belia, ibu bapa merupakan benteng pertama dalam melindungi anak-anak daripada terjebak dengan dadah. Hubungan kekeluargaan yang rapat dan komunikasi yang baik sangat penting dalam memastikan anak-anak tidak mencari pengaruh luar yang negatif.

Malangnya, kesibukan kerja dan kurang perhatian terhadap emosi anak menyebabkan ramai remaja mencari ketenangan melalui rakan sebaya yang salah.

Justeru kita berharap agar ibu bapa lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak seperti sering pulang lewat malam, penzahiran emosi tidak stabil, prestasi pelajaran merosot dan perubahan pergaulan secara mendadak.

Jangan sesekali menganggap perubahan itu sekadar perubahan “fasa remaja” yang biasa tanpa siasatan lanjut. Pemantauan penggunaan telefon pintar dan media sosial juga penting kerana banyak sindiket menggunakan platform digital untuk mempengaruhi remaja.

Selain itu, ibu bapa perlu membina suasana rumah yang harmoni dan menjadi tempat selamat untuk anak berkongsi masalah. Anak yang dibesarkan dalam suasana penuh kasih sayang dan perhatian lebih cenderung mempunyai daya tahan diri yang kuat untuk menolak pengaruh negatif.

Dalam masa sama, masyarakat dan pemimpin komuniti juga memainkan peranan besar dalam membentuk persekitaran yang sihat untuk belia. Komuniti tidak boleh bersikap “tidak mahu ambil tahu” terhadap masalah sosial yang berlaku di kawasan masing-masing.

Sedarlah betapa sikap terlalu menjaga hal sendiri kononnya atas dasar ‘tidak mahu menjaga tepi kain orang’ menyebabkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah sukar dibendung.

Pemimpin komuniti seperti ketua kampung, ahli jawatankuasa penduduk dan pertubuhan belia perlu aktif menganjurkan program kesedaran, aktiviti sukan, kelas kemahiran dan program sukarelawan bagi mengisi masa lapang anak muda dengan aktiviti bermanfaat.

Belia yang aktif dalam komuniti biasanya mempunyai rasa tanggungjawab sosial yang lebih tinggi serta kurang terdedah kepada gejala negatif seperti dadah.

Masyarakat juga perlu menghapuskan stigma terhadap bekas penagih yang sudah insaf dan ingin berubah. Bagilah mereka peluang kedua untuk kembali membina kehidupan baharu.

Jika masyarakat terus meminggirkan golongan ini, mereka berisiko kembali terjebak dalam penagihan kerana gagal mendapat sokongan sosial dan peluang pekerjaan yang sewajarnya.

Guru dan sekolah pula merupakan institusi penting dalam membentuk jati diri dan sahsiah pelajar. Sekolah bukan hanya tempat menyampaikan ilmu akademik, tetapi juga medan membina sahsiah dan ketahanan diri generasi muda.

Pendidikan berkaitan bahaya dadah perlu disampaikan secara lebih kreatif, realistik dan dekat dengan kehidupan remaja masa kini.

Program kesedaran tidak seharusnya hanya bersifat ceramah semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan pendekatan interaktif seperti perkongsian bekas penagih, simulasi situasi tekanan rakan sebaya dan aktiviti pembangunan diri. Pendekatan sebegini lebih mudah memberi kesan kepada pelajar.

Guru juga perlu peka terhadap perubahan tingkah laku pelajar di sekolah. Pelajar yang sering ponteng, murung, agresif atau mengalami kemerosotan akademik secara mendadak perlu diberi perhatian awal melalui kaunseling dan intervensi segera.

Hubungan erat antara sekolah dan ibu bapa juga perlu diperkukuh supaya sebarang masalah dapat ditangani secara bersama.

Apa pun usaha membanteras dadah tidak akan berjaya tanpa kesedaran daripada belia itu sendiri. Golongan muda perlu memahami bahawa dadah bukan simbol gaya hidup moden atau kebebasan, sebaliknya perangkap yang menghancurkan masa depan.

Belia perlu bijak memilih rakan, mengelakkan pergaulan toksik dan mempunyai keberanian untuk berkata tidak kepada dadah.

Belia juga perlu mengisi kehidupan dengan aktiviti positif seperti bersukan, menyertai program kesukarelawanan, keusahawanan dan pembangunan kemahiran. Aktiviti yang sihat mampu membina keyakinan diri serta mengelakkan mereka daripada terjebak dengan pengaruh negatif.

Dalam mendukung agenda ini, pihak berkuasa seperti polis dan AADK diharap dapat terus memainkan peranan penting melalui penguatkuasaan, pemantauan dan program pendidikan masyarakat.

Operasi membanteras pengedaran dadah perlu dipertingkat secara berterusan terutama melibatkan sindiket yang menyasarkan golongan muda, khususnya melalui platform media sosial.

Kesimpulannya, masalah dadah dalam kalangan belia merupakan ancaman besar yang perlu ditangani secara menyeluruh dan berterusan dengan penuh rasa tanggungjawab dan kesedaran yang tinggi.

Setiap pihak mempunyai peranan tersendiri dalam memastikan generasi muda tidak hanyut dalam kancah penagihan dadah.

Ibu bapa perlu menjadi pelindung utama, masyarakat perlu menjadi mata dan telinga komuniti, sekolah perlu membina jati diri pelajar, manakala belia sendiri mesti mempunyai kekuatan untuk memilih jalan kehidupan yang betul.

Jika semua pihak bergerak seiring, usaha menyelamatkan masa depan generasi muda bukan sesuatu yang mustahil. Harus diingat, dadah bukan sahaja merosakkan seorang individu, tetapi mampu menghancurkan masa depan sebuah keluarga, masyarakat dan negara.

Oleh itu, jangan biarkan dadah terus merobek harapan dan masa depan belia Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Noor Mohamad Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia
E-mel: nmohd77@upm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.