
KUALA LUMPUR, 18 April – Usaha memperkukuh literasi kewangan dalam kalangan rakyat terus diperkasa menerusi pelaksanaan The National Investment Programme (NIP) yang memberi fokus kepada pendedahan pelaburan secara lebih menyeluruh.
- Kerjasama dengan Bursa Malaysia buka ruang untuk maklumat, pendidikan dan pemahaman lebih jelas mengenai pasaran saham.
- Pelaksanaan tiga hingga empat bulan melibatkan kira-kira 550 peserta, termasuk golongan B40 dan pelajar institusi pengajian tinggi.
- Pendekatan mendemokrasikan pasaran modal menggalakkan penyertaan pelabur runcit dan membina keyakinan, selari usaha cegah penipuan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, program dengan kerjasama Bursa Malaysia itu membuka ruang kepada masyarakat mendapatkan maklumat, pendidikan serta pemahaman lebih jelas mengenai pasaran saham.
“Seiring saranan kerajaan, kita mahu pelabur dan masyarakat lebih cakna terhadap literasi kewangan serta pelaburan bagi mengelakkan perkara tidak diingini seperti penipuan, yang terus berlaku dan mencatatkan kerugian melebihi RM2 bilion di peringkat negara bagi tahun 2025,” katanya selepas melancarkan program NIP, di sini hari ini.
Menurut beliau, NIP akan dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga empat bulan sehingga Julai, melibatkan kira-kira 550 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan B40 dan pelajar institusi pengajian tinggi.
“Tiada sasaran khusus ditetapkan dari segi jumlah pelaburan memandangkan fokus utama adalah kepada pendedahan awal dan pembinaan keyakinan dalam kalangan pelabur baharu,” katanya.
Dalam masa sama, pendekatan yang dibawa menerusi program itu dilihat berbeza apabila memberi penekanan kepada usaha mendemokrasikan pasaran modal, dengan menggalakkan penyertaan pelabur runcit dan tidak hanya tertumpu kepada institusi.
Sehingga 2025, jumlah akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) telah mencecah 1.3 juta, dengan tambahan lebih 170,000 akaun baharu direkodkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap pelaburan dalam pasaran saham tempatan.