
PELABUHAN KLANG, 18 April – Kerajaan mengesahkan kapasiti pusat adunan biodiesel negara adalah mencukupi untuk menyokong peningkatan kadar adunan daripada B10 kepada B15, tanpa memerlukan penaiktarafan infrastruktur sedia ada.
- Pelaksanaan B15 akan dijalankan secara progresif dan berfasa untuk memastikan operasi pusat pengadunan tidak terjejas.
- Kementerian Ekonomi bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi melaksanakan penilaian menyeluruh dari segi kebolehlaksanaan dan aspek teknikal industri.
- Penggunaan biodiesel dijangka naik dari kira-kira 500,000 tan metrik ke 800,000 tan metrik dengan pelaksanaan B15.
- Sasaran B20 dan B30 memerlukan pelaburan tambahan serta penaiktarafan infrastruktur, pelaksanaan selaras Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga NETR RMK13.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelaksanaan inisiatif itu akan dilakukan secara progresif dan berfasa bagi memastikan operasi sedia ada, khususnya di pusat pengadunan, tidak terjejas.
“Penilaian menyeluruh telah dilaksanakan oleh Kementerian Ekonomi dari sudut kebolehlaksanaan, bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi yang meneliti aspek teknikal serta kepakaran industri.
“Hasil lawatan hari ini mengesahkan bahawa terdapat kapasiti sedia ada yang mencukupi dan boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan penghasilan biodiesel, dengan ruang kapasiti yang masih tersedia,” katanya demikian dalam sidang media selepas lawatan turun padang bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad di KL-Kepong Oleomas Sdn Bhd (KLKOM).
Tambah beliau, langkah meningkatkan kadar campuran biodiesel itu turut memperkukuh penggunaan sumber domestik, khususnya dalam ekosistem minyak sawit negara.
Mengulas mengenai aspek bekalan, katanya malaysia dijamin mempunyai kapasiti pengeluaran yang mencukupi, susulan jumpah keseluruhan pengeluaran lebih besar berbanding penggunaan untuk biodiesel.
“Ketika ini, penggunaan biodiesel dianggarkan sekitar 500,000 tan metrik. Apabila kadar campuran ditingkatkan kepada B15, jumlah itu dijangka meningkat kepada kira-kira 800,000 tan metrik.
“Secara keseluruhan, pengeluaran komoditi minyak sawit negara diunjurkan mencecah sekitar 20 juta tan pada tahun 2025.” katanya lagi.
Bagaimanapun, katanya, sasaran lebih tinggi seperti B20 dan B30 pula memerlukan pelaburan tambahan bagi menaik taraf infrastruktur, khususnya dalam jangka sederhana.
Langkah tersebut akan dilaksanakan selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).