
KUALA LUMPUR, 3 Jun – Mesyuarat Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) Ke-17 yang bakal berlangsung di Jakarta esok (4 Jun), dijangka memberi keutamaan kepada usaha Malaysia serta Indonesia memperkukuh kerjasama ekonomi dan melindungi daya tahan rantaian bekalan susulan gangguan global yang semakin meningkat.
- Malaysia akan kemukakan langkah konkrit kurangkan impak kejutan luaran terhadap aliran perdagangan, keterjaminan tenaga, bekalan makanan dan input industri.
- Agenda memberi penekanan kepada pemudahcaraan perdagangan dan pelaburan serta pengukuhan rangkaian bekalan rentas sempadan dan kerjasama tenaga.
- Perbincangan juga akan meliputi isu sempadan maritim dan darat, perdagangan rentas sempadan, industri halal, pertahanan keselamatan, serta pengurusan alam sekitar dan bencana.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia, menurut kenyataan Wisma Putra.
“Mesyuarat berkenaan dipengerusikan bersama oleh Datuk Seri Mohamad bersama rakan sejawatnya dari Indonesia, Sugiono.
“Malaysia dijangka mengemukakan cadangan langkah-langkah konkrit bagi membolehkan kedua-dua negara bekerjasama dalam mengurangkan kesan kejutan luaran yang menjejaskan aliran perdagangan, keterjaminan tenaga, bekalan makanan serta bahan input penting industri.
“Agenda mesyuarat turut memberi penekanan kepada pemudahcaraan perdagangan dan pelaburan, pengukuhan rangkaian bekalan rentas sempadan, kerjasama tenaga serta aspek keterjaminan makanan,”menurut kenyataan.
Selain itu, kedua-dua pihak dijangka membincangkan beberapa isu berkepentingan bersama termasuk pembatasan sempadan maritim dan darat, perdagangan rentas sempadan, industri halal, pertahanan dan keselamatan, serta kerjasama dalam pengurusan alam sekitar dan bencana.