MUDRA: Lebih RM220 juta peruntukan tahun ini, meningkat RM60 juta

Foto BERNAMA 

PUTRAJAYA, 18 April – Peruntukan melebihi RM220 juta menerusi pakej Modal Usahawan dan Rangsangan Ekonomi India (MUDRA) tahun ini yang meningkat sebanyak RM60 juta, didorong oleh sambutan positif terhadap skim pembiayaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

RINGKASAN BERITA AI
  • MUDRA ditumpukan untuk memperkukuh ekosistem PMKS dan koperasi milik masyarakat India.
  • Dilaksanakan melalui lima agensi KUSKOP: TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, AIM dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
  • TEKUN RM120 juta; SME Bank RM50 juta; Bank Rakyat RM15 juta; AIM RM27 juta; SKM RM11 juta.
  • Bukan sekadar bantuan jangka pendek tetapi langkah strategik untuk meningkatkan daya saing dan kesinambungan perniagaan PMKS India.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata pakej itu dikhususkan bagi memperkukuh ekosistem Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta koperasi milik masyarakat India di negara ini.

“Peruntukan melebihi RM220 juta tahun ini merupakan peningkatan sebanyak RM60 juta berbanding lebih kurang RM160 juta yang telah disalurkan pada 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata MUDRA akan dilaksanakan menerusi lima agensi di bawah KUSKOP, iaitu TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Sim berkata TEKUN Nasional menyediakan RM120 juta melalui Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI), diikuti SME Bank sebanyak RM50 juta menerusi Skim Pembiayaan Vanigham dan Bank Rakyat pula memperuntukkan RM15 juta bagi Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i).

“AIM menyediakan RM27 juta melalui Dana Program Pemerkasaan Usahawan Wanita India (PENN), manakala SKM menyediakan RM11 juta merangkumi RM1 juta di bawah Bakti MADANI dan RM10 juta bagi Tabung Modal Pusingan SKM (TMPSKM),” katanya.

Beliau berkata MUDRA bukan sekadar bantuan kewangan jangka pendek, tetapi juga langkah strategik untuk meningkatkan daya saing PMKS masyarakat India dalam memastikan kelangsungan operasi perniagaan menghadapi ketidaktentuan tenaga global.

KUSKOP, katanya, meneruskan tekad membina ekosistem keusahawanan yang inklusif, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Sim berkata hingga 31 Mac, pelaksanaan inisiatif itu telah menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan dengan RM33.48 juta dana telah diluluskan dan memberikan manfaat langsung kepada 1,805 usahawan masyarakat India di seluruh negara.