Konflik Asia Barat: Presiden Lubnan mahu gencatan senjata ditukar kepada perjanjian kekal

Presiden Lubnan, Joseph Aoun/REUTERS

BEIRUT, 18 April– Presiden Lubnan, Joseph Aoun menggesa agar gencatan senjata yang dicapai baru-baru ini diterjemahkan kepada “perjanjian kekal” bagi menjamin kedaulatan negara, sekali gus menandakan fasa baharu selepas konflik enam minggu antara Israel dan Hizbullah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aoun menegaskan Lubnan kini mempunyai autonomi penuh menentukan masa depan sendiri, menolak menjadi proksi kuasa luar.
  • Beliau menumpu menamatkan serangan Israel dan menuntut tentera Israel berundur sepenuhnya; rundingan damai tidak diperincikan.
  • Presiden AS menjemput Aoun dan Netanyahu ke White House untuk rundingan rasmi, dilihat sebagai pencapaian diplomatik walau dikecam Hizbullah.

Dalam ucapan sulungnya di televisyen sejak gencatan senjata bermula, beliau menegaskan bahawa Lubnan kini mempunyai autonomi penuh dalam menentukan masa depan sendiri tanpa menjadi proksi kepada mana-mana kuasa luar.

Meskipun rundingan damai disebut dalam perjanjian, Aoun tidak mengulas lanjut mengenainya dan fokusnya adalah untuk menamatkan serangan Israel dan mendesak tentera mereka berundur sepenuhnya.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk memikul tanggungjawab sepenuhnya atas pilihan diplomatik tersebut, meskipun berdepan kritikan daripada kumpulan Hizbullah yang menentang sebarang rundingan terus dengan pihak Israel.

“Hari ini, kita berunding untuk diri kita sendiri dan membuat keputusan untuk diri kita sendiri. Kita bukan lagi menjadi alat permainan dalam percaturan sesiapa, atau menjadi medan peperangan bagi sesiapa dan kita tidak akan membiarkannya berlaku lagi. Kepada mereka yang mempertaruhkan nasib Lubnan dan nyawa rakyatnya, saya katakan cukup,” kata Aoun.

Dalam pada itu, Presiden AS, Donald Trump dilaporkan telah menjemput Joseph Aoun dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke White House bagi memulakan rundingan rasmi antara kedua-dua negara.

Langkah tersebut dilihat sebagai pencapaian diplomatik yang besar, walaupun ketegangan domestik masih wujud selepas Hizbullah mengkritik kerajaan kerana bersetuju mengadakan rundingan yang dianggap sebagai satu konsesi terhadap pihak lawan. -REUTERS