Piala Dunia FIFA: Penduduk bantah tambang tren AS$150 ke stadium

Foto Fail / AFP

NEW YORK, 18 April – Cadangan tambang kereta api sebanyak AS$150 untuk perjalanan ke stadium Meadowlands di New Jersey sempena Piala Dunia FIFA 2026 mendapat bantahan daripada penduduk di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penduduk mengutuk kadar tambang dianggap melampau dan tidak masuk akal, menghalang pengalaman menonton perlawanan hebat.
  • Ramai rasa tindakan itu mengambil kesempatan terhadap peminat dengan mengenakan harga tidak munasabah.
  • Wujud kekeliruan tentang perbezaan harga ketara berbanding sebelum ini; penduduk persoal alasan kenaikan.

Seorang penduduk, Nick Quesnel, menyifatkan kadar tersebut sebagai melampau.

“Memang tidak masuk akal. Anda mahu pergi menonton perlawanan hebat Piala Dunia tetapi dikenakan caj yang terlalu mahal,” katanya.

Sementara itu, Guy Dixon menyifatkan kadar tidak munasabah itu merupakan tindakan yang mengambil kesempatan terhadap peminat.

“Saya rasa ini memalukan. Ia mengambil kesempatan terhadap peminat dengan mengenakan harga setinggi itu,” katanya.

Seorang lagi penduduk, yang hanya mahu dikenali sebagai Chrissy, turut mempersoal perbezaan harga yang ketara berbanding sebelum ini.

“Itu memang harga yang sangat tinggi, perbezaannya besar. Saya tertanya-tanya kenapa mereka buat begitu?,” katanya.

Kadar tambang itu dirancang pihak berkuasa New Jersey bagi perjalanan ulang-alik peminat ke stadium berkenaan yang terletak berhampiran New York.

Piala Dunia FIFA 2026 dijadual berlangsung pada Jun hingga Julai ini di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Kejohanan edisi kali ini merupakan yang pertama dianjurkan tiga negara secara bersama serta menampilkan format baharu dengan penyertaan 48 pasukan, berbanding 32 pasukan sebelum ini. – AFP