Kesedaran pengguna urus bekalan ubat perlu dipertingkat

Ketua Perkhidmatan Farmasi Pusat Kanser Tun Abdullah, Universiti Sains Malaysia (USM), Norazana Ramli/RTM

KUALA LUMPUR, 18 April -Kesedaran pengguna dalam mengurus bekalan ubat dengan betul perlu dipertingkat bagi mengelakkan pembaziran serta gangguan kepada pesakit yang memerlukan rawatan berterusan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Patuhi penggunaan ubat: dos, cara penyimpanan dan pematuhan arahan rawatan.
  • Simpanan ubat berlebihan dan penyimpanan tidak betul mengurangkan bekalan fasiliti, menjejaskan pesakit kritikal.
  • Semak stok ubat di rumah sebelum mendapatkan bekalan baharu di fasiliti kesihatan.
  • Bawa baki atau ubat luput ke fasiliti kesihatan untuk disemak atau dilupuskan secara selamat.

Ketua Perkhidmatan Farmasi Pusat Kanser Tun Abdullah, Universiti Sains Malaysia (USM), Norazana Ramli berkata, aspek utama yang perlu diberi perhatian adalah penggunaan ubat yang betul termasuk dos, cara penyimpanan serta tahap pematuhan terhadap arahan rawatan.

“Sebenarnya, menurut kajian, lebih daripada 30 peratus pengguna menyimpan ubat tanpa menggunakannya dengan cara yang betul.

Antara kesilapan paling kerap dilakukan ialah menyimpan ubat secara berlebihan, tidak mematuhi dos serta arahan yang diberikan, selain cara penyimpanan yang tidak betul,” katanya yang ditemui wartawan selepas program Selamat Pagi Malaysia di Wisma Berita RTM, Angkasapuri.

Tambahnya, pengurusan ubat yang tidak teratur boleh menjejaskan bekalan di fasiliti kesihatan, sekali gus memberi kesan kepada pesakit lain.

“Apabila pengguna menyimpan ubat secara berlebihan, bekalan di fasiliti kesihatan boleh berkurangan dan berkemungkinan habis.

Ini akan memberi kesan kepada pesakit kritikal seperti pesakit kencing manis dan kanser yang memerlukan rawatan mengikut jadual,” jelas beliau.

Sehubungan itu, pengguna disarankan menyemak stok ubat sedia ada di rumah sebelum mendapatkan bekalan baharu di fasiliti kesihatan.

Selain itu, ubat yang masih berbaki boleh dibawa ke fasiliti kesihatan untuk disemak oleh pegawai farmasi sama ada masih diperlukan atau sebaliknya.

Dalam pada itu, pengguna disaran menggunakan kaedah yang betul dan selamat untuk melupuskan ubat-ubatan yang telah melepasi tarikh luput.

“Untuk ubat yang telah melepasi tarikh luput, kebiasaannya fasiliti kesihatan menyediakan ruang khas bagi pemulangan ubat. Ini kerana ubat yang luput tidak boleh dibuang atau dilupuskan sewenang-wenangnya kerana ia boleh memberi kesan kepada alam sekitar.

Oleh itu, ia perlu dilupuskan dengan kaedah yang betul. Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, pengguna digalakkan memulangkan ubat tersebut ke fasiliti kesihatan yang berdekatan.”