
BEIJING, 16 Jun – Pemimpin China, Xi Jinping secara rasmi menyatakan sokongan padu kepada Myanmar dalam mempertahankan kedaulatan negara itu semasa mengadakan pertemuan peringkat tinggi bersama Presiden Min Aung Hlaing di sini, pada Selasa.
- China tegas menyokong usaha Myanmar memelihara kedaulatan dan integriti wilayahnya.
- China kekal rakan kongsi utama dan sekutu paling penting Myanmar sejak rampasan kuasa tentera 2021.
- Kedua-dua negara bersedia bekerjasama membanteras penipuan telekomunikasi, perjudian dalam talian dan penyeludupan dadah.
China kekal sebagai sekutu paling penting dan rakan kongsi utama buat Myanmar, terutamanya selepas rampasan kuasa tentera pada tahun 2021 yang diketuai oleh Aung Hlaing menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi.
Insiden berkenaan sebelum ini telah menyebabkan negara Barat bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan negara Asia Tenggara itu.
Sepanjang tempoh konflik, Beijing telah muncul sebagai kuasa utama dalam perang saudara yang tercetus.
Pihak China juga secara terbuka menyokong pilihan raya baru-baru ini yang menyaksikan penyertaan parti Suu Kyi disekat sekali gus memberikan kemenangan mudah kepada ahli parlimen pro-tentera yang kemudiannya memilih Aung Hlaing sebagai presiden baharu.
Menurut laporan agensi penyiaran negara CCTV, Xi menyatakan bahawa China “menyokong teguh” usaha Myanmar dalam memelihara kedaulatan serta integriti wilayahnya ketika menyambut ketibaan Aung Hlaing dalam satu majlis sambutan rasmi di Dewan Besar Rakyat di sini.
Kunjungan rasmi ini merupakan lawatan negara kedua buat pemimpin Myanmar itu sejak memegang jawatan sebagai presiden awam pada April lalu.
Penganalisis berpendapat lawatan ini sangat kritikal memandangkan hubungan kedua-dua belah pihak sedikit terjejas kebelakangan ini berikutan isu kewujudan pusat penipuan internet (scammer) di sepanjang sempadan bersama yang menyasarkan warga China sebagai mangsa.
“Beijing menyokong kerajaan baharu Myanmar dalam mengimbangi aspek pembangunan dan keselamatan bagi mencari jalan kemajuan yang tepat, sesuai dengan acuan keadaan negara serta mendapat sokongan penuh daripada rakyat,” jelas Xi kepada Aung Hlaing.
Pemimpin China itu turut menegaskan bahawa kedua-dua negara harus terus bekerjasama untuk “membanteras habis-habisan” isu penipuan telekomunikasi, perjudian dalam talian serta aktiviti penyeludupan dadah.
Beliau turut menyifatkan hubungan China-Myanmar sebagai rakan yang sentiasa “berdiri bersama mengharungi susah dan senang”.
Aung Hlaing dilaporkan tiba di Beijing sejak Isnin bagi lawatan selama lima hari termasuk telah meluangkan masa meninjau Beijing Aerospace City yang merupakan pusat program angkasa lepas China dan dijadualkan bertemu Perdana Menteri Li Qiang serta ahli perundangan tertinggi, Zhao Leji.
Selain bertindak sebagai pembekal utama kelengkapan ketenteraan kepada tentera Myanmar, Beijing sebelum ini berjaya merentasi sejarah penting dengan menjadi orang tengah dalam memeterai perjanjian gencatan senjata membabitkan dua puak pemberontak paling berpengaruh di sempadan China.
Meskipun Myanmar dilaporkan mengalami kejatuhan ekonomi yang teruk akibat impak perang saudara, negara itu kini muncul sebagai antara pembekal global terbesar bagi bahan mineral nadir bumi yang sangat diperlukan oleh China untuk pengeluaran teknologi tenaga boleh diperbaharui.- AFP