
KUALA LUMPUR, 18 April – Cadangan meningkatkan kuota Budi MADANI RON95 (BUDI95) bagi pengamal media akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Selasa depan (21 April).
- GKMM memohon pengecualian khas supaya pengamal media berdaftar terus menerima kuota 300 liter BUDI95.
- Penyelarasan kepada 200 liter sebulan menyulitkan wartawan, jurugambar dan juruvideo menjalankan tugas di lapangan.
- Kementerian Komunikasi akan mengadakan taklimat krisis tenaga global dan sidang media mingguan secara hibrid untuk memudahkan rakan media.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sebarang keputusan berhubung perkara tersebut akan ditentukan pada mesyuarat berkenaan.
“Saya akan membawa perkara ini ke mesyuarat MTEN pada Selasa nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Penyakit Tiga Serangkai Jadi Fokus Kempen Kesihatan Universiti Malaya 2026’ di sini, hari ini.
Semalam, Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) memohon kerajaan memberikan pengecualian khas kepada pengamal media berdaftar untuk terus menerima kuota 300 liter petrol RON95 sepertimana dinikmati sebelum ini.
Menurut GKMM, langkah penyelarasan kelayakan program BUDI95 kepada 200 liter sebulan mula memberikan cabaran besar buat pengamal media yang terdiri daripada wartawan, jurugambar serta juruvideo dalam menyempurnakan tugas di lapangan.
Datuk Fahmi menambah bahawa Kementerian Komunikasi mengambil langkah proaktif bagi membantu pengamal media dengan mengadakan sesi taklimat krisis tenaga global serta sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri Mingguan dalam format hibrid, bermula Rabu depan.
“Ini membolehkan wartawan yang bertugas di Putrajaya hadir secara fizikal, manakala mereka di Kuala Lumpur boleh menyertai secara dalam talian dan bertanyakan soalan.
“Apapun keputusan MTEN, ia memudahkan rakan-rakan media mengakses saya sebagai jurucakap dan pada sidang media mingguan kita akan laksana secara hibrid,” katanya.