
KUALA LUMPUR, 18 April – Sekiranya ada perundangan yang perlu dipinda, termasuk tindakan lebih bersepadu bagi membanteras jenayah dalam talian, ia akan dilaksanakan, menurut Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
- Sesi pemukiman akan diadakan melibatkan MCMC, polis, institusi perbankan dan pihak berkepentingan untuk menangani penipuan dalam talian.
- Perundangan dan pelaksanaan akan diteliti; pindaan undang-undang dan tindakan bersepadu dilaksanakan jika perlu.
- MCMC akan bekerjasama rapat dengan JSJK dan JSJ Bukit Aman untuk menilai jurang penguatkuasaan dan penyelarasan antara agensi.
Beliau memaklumkan, perkara itu akan dilaksanakan menerusi satu sesi pemukiman melibatkan pelbagai agensi bagi menangani sebarang bentuk jenayah penipuan dalam talian.
“Kali terakhir mesyuarat diadakan minggu lalu dan satu sesi pemukiman akan diadakan bagi meneliti sudut perundangan dan pelaksanaan, termasuk penyelarasan merentas kementerian dan agensi. Ia melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pihak polis, institusi perbankan serta pihak berkepentingan lain bagi meneliti jurang penguatkuasaan, peruntukan undang-undang dan penyelarasan antara agensi.
“MCMC akan bekerjasama erat dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kesihatan Awam Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.