Lelaki OKU maut dalam kebakaran bilik hotel

Keadaan bilik hotel selepas kebakaran berjaya dipadamkan. Foto JBPM Sarawak

SIBU, 18 April 2026 – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemukan maut dalam satu kejadian kebakaran di sebuah bilik hotel di Jalan Tukang Besi, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Panggilan kecemasan diterima pada pukul 6.53 pagi; jentera BBP Sibu Sentral dikejarkan ke lokasi.
  • Kebakaran berjaya dipadamkan dan keadaan disahkan selamat pada pukul 8.40 pagi.
  • Bilik penginapan bajet di tingkat bawah (kira-kira 10 x 16 kaki) musnah sepenuhnya; mayat diserahkan kepada PDRM; punca masih disiasat.

Menurut Pusat Gerakan operasi (JBPM) Sarawak, mangsa dikenali sebagai Johnathan Goh Yow Chyang, 43 tahun, ditemukan di dalam bilik air premis berkenaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Panggilan kecemasan diterima pada pukul 6.53 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral dikejarkan ke lokasi kejadian.

Kebakaran berjaya dipadamkan dan keadaan disahkan selamat pada pukul 8.40 pagi.

Hasil pemeriksaan pihak bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah bilik di tingkat bawah hotel jenis penginapan bajet dengan keluasan dianggarkan 10 x 16 kaki persegi, yang musnah sepenuhnya. Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.