KPDN rampas 3,400 liter diesel, tahan seorang lelaki tempatan

Lori diubah suai dengan enam tangki simpanan berkapasiti 1,000 liter setiap satu serta dilengkapi peralatan pemindahan bahan api, menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor, Mohd Hanizam Kechek.

KLANG, 18 April – Sindiket penyelewengan bahan api diesel bersubsidi berjaya ditumpaskan, sebanyak 3,400 liter diesel dirampas dalam satu operasi yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor di Pandamaran, Klang awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lori diubah suai dengan enam tangki simpanan 1,000 liter setiap satu serta peralatan pemindahan bahan api.
  • Operasi dijalankan selepas mengesan lori dalam keadaan mencurigakan.
  • Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen berkaitan bahan api.
  • Rampasan dianggarkan melebihi RM100,000; nilai subsidi diselamatkan kira-kira RM20,000; kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor, Mohd Hanizam Kechek berkata operasi kira-kira pukul 1 pagi itu dijalankan selepas pihaknya mengesan sebuah lori berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati lori tersebut telah diubah suai dengan enam tangki simpanan berkapasiti 1,000 liter setiap satu serta dilengkapi peralatan pemindahan bahan api,” katanya dalam satu kenyataan.

Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun turut ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan bahan api diesel tersebut.

Mohd Hanizam memaklumkan, jumlah rampasan dianggarkan melebihi RM100,000, manakala nilai subsidi yang berjaya diselamatkan sekitar RM20,000. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.