Kapal tunda tanpa dokumen stabiliti ditahan di Perairan Kuala Baram Miri

Foto Maritim Miri

MIRI, 18 April -Sebuah kapal tunda yang mengendalikan tongkang tanpa dokumen stabiliti kapal ditahan dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kuala Baram Miri, kira-kira pukul 1.35 pagi semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tidak mematuhi keperluan dokumen stabiliti mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
  • Mengendalikan tongkang hitam dengan lima kru: tiga warga tempatan dan dua warga Myanmar.
  • Dokumen stabiliti penting bagi keseimbangan kapal dan keselamatan untuk mencegah karam serta kehilangan nyawa kru.
  • Maritim Malaysia mempertingkat penguatkuasaan; kapal dan tongkang diiring ke Pusat Tahanan Vesel Pulau Melayu untuk siasatan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, penahanan dilakukan selepas pemeriksaan mendapati kapal terbabit gagal mengemukakan dokumen stabiliti seperti diwajibkan bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

Menurutnya, kapal tunda itu mengendalikan tongkang berwarna hitam dengan lima kru terdiri daripada tiga warga tempatan dan dua warga Myanmar berumur antara 22 hingga 51 tahun.

“Dokumen stabiliti kapal bukan sekadar keperluan teknikal, sebaliknya elemen kritikal bagi memastikan keseimbangan serta keselamatan vesel di laut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kegagalan mematuhi keperluan itu boleh mengundang risiko kemalangan termasuk karam serta mengancam nyawa kru dan keselamatan perairan negara.

Tambahnya, pihak Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang ingkar mematuhi undang-undang maritim.

Mohd Khairol menegaskan bahawa penguatkuasaan akan terus dipergiat secara konsisten dan berfokus. T

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang culas atau melanggar peraturan,” katanya lagi.

Beliau menambah kapal tunda dan tongkang terbabit diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Pulau Melayu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.