
KOTA BHARU, 18 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan aplikasi Info Jualan Rahmah Madani bagi memudahkan pengguna menyemak lokasi Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) diadakan.
- KPDN lancarkan aplikasi Info Jualan Rahmah Madani untuk memudahkan pengguna memeriksa lokasi dan jadual Program Jualan Rahmah Madani.
- Aplikasi memaparkan maklumat lokasi berhampiran, tarikh pelaksanaan dan program secara masa nyata untuk kemudahan perancangan perbelanjaan harian.
- Tersedia di App Store dan Google Play supaya orang ramai boleh menyemak Jualan Rahmah yang sedang berlangsung hari ini.
- Inisiatif ini menggambarkan komitmen kerajaan memperkukuh ekosistem pengguna melalui pendigitalan dan capaian maklumat lebih cepat berbanding Facebook.
Timbalan Menteri KPDN, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, aplikasi tersebut diperkenalkan bulan lalu dalam usaha kerajaan memperluas capaian serta memudahkan rakyat merancang perbelanjaan harian.
Aplikasi itu dilengkapi maklumat berkaitan lokasi PJRM berhampiran, tarikh pelaksanaan serta program secara masa nyata.
Menurutnya, ia lebih memudahkan para pengguna, berbanding mendapatkan maklumat menerusi laman Facebook KPDN.
Beliau menegaskan inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh ekosistem kepenggunaan melalui pendigitalan.
“Aplikasi Info Jualan Rahmah kini boleh dimuat turun menerusi App Store dan Google Play Store. Melalui aplikasi ini, orang ramai boleh menyemak lokasi Jualan Rahmah yang sedang berlangsung pada hari berkenaan. Sebagai contoh, hari ini saya melihat lokasi di Flat Buluh Kubu, Kota Bharu, Kelantan turut tersenarai dalam aplikasi tersebut.
“Pengguna juga boleh mencari lokasi Jualan Rahmah dalam lingkungan sehingga 30 kilometer dari kawasan masing-masing. KPDN membangunkan aplikasi ini bagi memastikan lebih ramai orang mengetahui lokasi Jualan Rahmah dan memudahkan mereka mendapatkan maklumat dengan lebih cepat,” katanya dalam sidang media selepas Program Sentuhan Kasih Dan Jualan Rahmah Madani di Dewan Serbaguna PPR Kota Bharu, di sini, hari ini.