
PUTRAJAYA, 16 April – Kerajaan dijangka melaksanakan sekatan pembukaan akaun media sosial bagi individu berusia bawah 16 tahun sebagai langkah memperkukuh perlindungan dalam talian.
- Pelaksanaan dijangka seawal Jun, tertakluk kepada penelitian dan keputusan akhir kerajaan.
- MCMC sedang menjalankan ujian bersama beberapa platform untuk menilai dan menyeragamkan mekanisme sedia ada.
- Pasukan MCMC telah ke Singapura untuk perbincangan mendalam mengenai pelaksanaan dan kini dalam proses penelitian.
- Beberapa platform menyatakan kesediaan melaksanakan sekatan; hasil perbincangan akan dibentangkan sebelum keputusan muktamad.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan itu dijangka dibuat seawal Jun ini, tertakluk kepada penelitian dan keputusan akhir kerajaan.
Menurut beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ketika ini sedang menjalankan ujian bersama beberapa platform media sosial bagi menilai serta menyeragamkan mekanisme sedia ada.
“Pasukan MCMC telah ke Singapura pada Jumaat lalu untuk mengadakan perbincangan mendalam mengenai pelaksanaan dan kini dalam proses penelitian sebelum dibawa ke perhatian saya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi 2026 di sini, hari ini.
Tambahnya, beberapa platform media sosial turut menyatakan kesediaan untuk melaksanakan sekatan tersebut.
Hasil perbincangan lanjut, katanya, akan dibentangkan dalam masa terdekat sebelum keputusan muktamad dibuat.