Belanjawan 2027: Pertumbuhan ekonomi diterjemah kepada kesejahteraan rakyat

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan / Foto Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Belanjawan 2027 memberi tumpuan kepada usaha memastikan pertumbuhan ekonomi negara diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan hidup rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menangani isu kos sara hidup dan meningkatkan kualiti penggajian serta pekerjaan.
  • Mengambil kira maklum balas pelbagai pihak melalui sesi libat urus dan jelajah pra belanjawan.
  • Memperkukuh tadbir urus untuk memastikan hasil pembangunan dan pertumbuhan dinikmati rakyat.
  • Kerjasama menyeluruh antara kementerian, agensi, sektor swasta dan masyarakat diperlukan untuk menjayakan agenda.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata antara keutamaan kerajaan termasuk menangani isu kos sara hidup serta meningkatkan kualiti penggajian dan pekerjaan.

Tambah beliau, belanjawan kelima di bawah Kerajaan MADANI itu turut mengambil kira maklum balas pelbagai pihak menerusi sesi libat urus dan jelajah pra belanjawan bagi mengenal pasti keperluan serta cabaran yang dihadapi rakyat.

“Usaha menerusi Belanjawan 2027 adalah untuk memastikan limpahan kejayaan negara sebagai sebuah negara perdagangan dapat dinikmati oleh rakyat.

“Kerajaan turut mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pihak menerusi sesi jelajah dan perbincangan belanjawan, termasuk rintihan serta keperluan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen.

Datuk Seri Amir Hamzah turut memaklumkan pengukuhan tadbir urus negara turut menjadi antara tumpuan kerajaan dalam memastikan hasil pembangunan dan pertumbuhan ekonomi dapat dimanfaatkan rakyat menerusi Belanjawan 2027.

Beliau turut berpandangan kejayaan menjayakan agenda Belanjawan 2027 juga turut memerlukan kerjasama menyeluruh antara kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat secara keseluruhan.

“Usaha memperkukuh tatakelola turut dipertingkatkan kerana tadbir urus yang lebih baik akan meningkatkan hasil negara, sekali gus membolehkan manfaatnya dikembalikan kepada rakyat. Belanjawan 2027 jelas memperlihatkan tumpuan terhadap usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Alhamdulillah, kita amat menghargai usaha ini yang bukan digalas oleh satu pihak sahaja, sebaliknya hasil kerjasama semua agensi dalam melaksanakan amanah yang diberikan demi menjayakan matlamat bersama,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.