
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kerajaan akan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas bagi menangani isu pengabaian serta memperkukuh ekosistem penjagaan menyeluruh, selaras dengan persediaan Malaysia menuju status negara tua.
- Bantuan warga emas ditingkatkan kepada RM1.3 bilion, manfaat hampir 200,000 penerima.
- Cukai perkhidmatan jagaan warga emas diturunkan daripada lapan kepada enam peratus berkuat kuasa 1 Januari 2027.
- Pengecualian penuh yuran jagaan warga emas sehingga RM96,000 setahun.
Menerusi Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini, kadar cukai perkhidmatan bagi jagaan warga emas akan diturunkan daripada lapan kepada enam peratus mulai 1 Januari 2027.
Pengecualian penuh turut diberikan bagi yuran jagaan warga emas sehingga RM96,000 setahun.
Bagi memperkukuh sektor penjagaan warga emas, lebih RM40 juta disediakan menerusi HRD Corp untuk melatih 8,000 individu, sekali gus membuka peluang pekerjaan dalam bidang berkenaan.
“Dua pusat kepakaran penjagaan bersepadu (NICE) dibangunkan di Pulau Pinang dan Sarawak untuk latihan, penyelidikan dan penjagaan warga emas,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, bantuan warga emas bagi tahun depan ditingkatkan kepada RM1.3 bilion, yang akan memanfaatkan hampir 200,000 penerima.
Sementara itu, ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mencapai usia 55 dan 60 tahun boleh memilih skim i-Emas untuk menerima pengeluaran secara bulanan, sekali gus membolehkan baki simpanan terus menjana dividen.
Langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh perlindungan sosial dan menyediakan kemudahan penjagaan yang lebih menyeluruh bagi menghadapi peningkatan populasi warga emas.