JAKIM, DAFF Australia meterai kerjasama agrikultur dua hala

Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese pada sidang media bersama di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini

PUTRAJAYA, 16 April- Satu Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Department of Agriculture, Fisheries and Forestry Australia (DAFF) hari ini bagi memperkukuh kerjasama dua hala khususnya dalam sektor agrikultur serta meningkatkan akses pasaran antara kedua-dua negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkongsian kepakaran dalam pengeluaran makanan dan sistem pengairan untuk menjamin bekalan makanan yang mampan.
  • Perjanjian memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat apabila rantaian bekalan terganggu dan harga makanan meningkat.
  • Kerjasama merangkumi pemindahan pengetahuan teknikal dan pengukuhan rantaian bekalan demi kesejahteraan kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerjasama itu turut memberi tumpuan kepada perkongsian kepakaran dalam pengeluaran makanan dan sistem pengairan bagi menjamin kelangsungan bekalan makanan yang mampan.

“Kami bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor pertanian termasuk perkongsian kepakaran dalam pengeluaran dan pengairan bagi memastikan bekalan makanan yang mampan untuk rakyat Malaysia dan Australia.

“Jangan sesekali memandang ringan kepentingan perjanjian yang kita tandatangani hari ini. Apabila rantaian bekalan terganggu dan harga makanan meningkat, perjanjian seperti ini memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau menjelaskan Malaysia dan Australia bersetuju memperluas kerjasama dalam sektor berkenaan melalui pemindahan pengetahuan teknikal serta pengukuhan rantaian bekalan makanan, sekali gus memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media bersama antara beliau dan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese di Bangunan Perdana Putra, di sini.

Terdahulu, Anthony Albanese diberi sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra bersempena lawatan rasmi tiga harinya ke Malaysia dari 15 hingga 17 April.

Ketibaan beliau disambut oleh Datuk Seri Anwar pada pukul 9.56 pagi sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Australia merupakan rakan ekonomi penting Malaysia, berada di kedudukan ke-12 sebagai rakan dagang terbesar Malaysia pada 2025 dengan jumlah dagangan dua hala bernilai RM78.63 bilion (AS$18.38 bilion).