
ALOR SETAR, 7 Jun – Seorang mangsa daripada enam sekeluarga yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kampung Pinang Tunggal, Sungai Petani petang tadi merupakan anggota polis.
- SUV Proton X50 memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori tanah 10 tan.
- Kereta dikatakan baharu masih berbaki plastik; polis akan jalankan pemeriksaan menyeluruh termasuk PUSPAKOM.
- Mayat dihantar ke unit forensik untuk bedah siasat; pemandu lori ditahan reman; seorang kanak-kanak tiga tahun cedera parah.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah yang mengesahkan identiti mangsa itu ialah Ahmad Syafiq Ahmad Syukri, 29 tahun berpangkat Lans Koperal dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan.
Tambah beliau, pihak polis ketika ini masih menjalankan siasatan dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian terbabit.
“Saya ingin menyampaikan perkhabaran yang amat tragis dan menyedihkan. Pada pukul kira-kira 4 petang tadi, pihak polis telah dimaklumkan satu kemalangan maut yang berlaku di Jalan Pinang Tunggal – Tikam Batu yang membabitkan kematian nyawa seramai 6 orang.
“Kereta ini dipercayai baru dikeluarkan pagi tadi, jenama baharu apabila melihat plastik (dalam kereta) masih belum dibuka. Kemungkinan ada masalah. Kita akan membuat pemeriksaan yang menyeluruh termasuk pemeriksaan dengan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM),” katanya.
Beliau ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini malam ini.
Lima lagi mangsa yang maut dalam kemalangan tragis tersebut ialah Jamaliah Sannusi, 27 tahun; Nora Mhd Husin, 55 tahun; Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21 tahun; seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun; dan seorang bayi berusia enam bulan.
Kesemua mayat mangsa dihantar ke unit forensik untuk proses bedah siasat
dan dijangka selesai esok.
Dalam kejadian petang tadi, kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 yang dinaiki kesemua mangsa maut memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori tanah 10 tan.
Seorang lagi penumpang dalam SUV, cedera parah dikenali sebagai Aulia Sofea Ahmad Shafiq berusia 3 tahun.
Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditahan reman untuk siasatan lanjut.