
KOTA KINABALU, 8 Jun – Siren amaran awal tsunami dibunyikan di empat kawasan pantai timur Sabah sebagai langkah kesiapsiagaan dan amaran awal kepada penduduk di kawasan terlibat susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang melanda Mindanao, Filipina awal pagi tadi (Isnin).
- MET Malaysia dan agensi keselamatan memantau risiko tsunami dan gempa susulan secara rapi.
- Penduduk diminta kekal tenang, tidak panik dan patuh arahan evakuasi pihak berkuasa.
- Elakkan menghampiri kawasan pantai dalam tempoh dinyatakan demi keselamatan diri dan keluarga.
- Jangan sebarkan maklumat tidak sahih, rujuk maklumat rasmi MET melalui laman web, myCuaca dan media sosial.
Kawasan yang terlibat ialah Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu yang dijangka berdepan kesan gelombang tsunami antara pukul 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) bersama agensi keselamatan sedang memantau perkembangan situasi secara rapi termasuk risiko tsunami dan sebarang gempa bumi susulan.
“Oleh itu, penduduk di kawasan pantai terbabit diminta kekal tenang dan tidak panik beri kerjasama penuh dengan mematuhi sebarang arahan evakuasi atau keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan daripada menghampiri kawasan pantai dalam tempoh yang dinyatakan demi keselamatan diri dan keluarga.
“Orang awam juga diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.
MET Malaysia akan terus mengeluarkan maklumat terkini dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi termasuk laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial.