
TOKYO, 7 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Jepun selama tiga hari bermula esok (8 hingga 10 Jun), termasuk mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatan, Sanae Takaichi.
- Mesyuarat Dua Hala antara pemimpin membuka laluan untuk merintis kerjasama baharu antara Malaysia dan Jepun.
- Perbincangan menumpukan teknologi hijau, daya tahan dan peralihan tenaga, kerjasama alam sekitar, pertahanan serta pendidikan tinggi.
- Perdana Menteri dijangka menyampaikan syarahan di Universiti Tokyo dan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Nikkei Future of Asia.
- Turut hadir sesi meja bulat bersama pemimpin industri bagi meneroka peluang pelaburan bernilai tinggi dari Jepun sebagai rakan ekonomi utama.
Wisma Putra menerusi kenyataan memaklumkan kedua-dua pemimpin akan mengadakan Mesyuarat Dua Hala, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk merintis kerjasama baharu bagi kedua-dua negara.
Ia susulan peningkatan hubungan Malaysia-Jepun kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada Disember 2023.
“Bidang-bidang utama perbincangan dijangka akan merangkumi isu-isu berkaitan teknologi hijau, daya tahan dan peralihan tenaga, kerjasama alam sekitar, pertahanan dan keselamatan serantau, serta kerjasama pendidikan tinggi.
“Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama,” katanya.
Turut mengiringi Datuk Seri Anwar ke Jepun, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong serta pegawai kanan kerajaan.
Wisma Putra yang juga dikenali sebagai Kementerian Luar berkata, selain daripada program libat urus dua hala, Perdana Menteri juga dijangka akan menyampaikan syarahan khas di Universiti
Tokyo dan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-31: Future of Asia.
Usaha tersebut memperlihatkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh hubungan dan memperkasa dialog bersama pihak Jepun serta rantau yang lebih luas.
“Menyedari peranan berterusan Jepun sebagai sumber utama Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan rakan ekonomi penting bagi Malaysia, Perdana Menteri turut
dijadual menghadiri Sesi Meja Bulat bersama pemimpin industri di Jepun bagi meneroka peluang-peluang pelaburan bernilai tinggi yang baharu di Malaysia,” katanya.
Jepun merupakan salah satu rakan ekonomi terpenting bagi Malaysia yang berada di kedudukan sebagai rakan dagang kelima terbesar negara di peringkat global sejak 2024.
Pada 2025, jumlah perdagangan dua hala telah direkodkan sebanyak RM142.96 bilion (USD33.39 bilion).
Setakat Disember tahun lalu, sejumlah 2,872 projek pembuatan dengan penyertaan Jepun telah dilaksanakan di Malaysia, dengan jumlah pelaburan mencecah RM107.9 bilion (USD31.0 bilion).
Projek-projek berkenaan telah menjana 347,346 peluang pekerjaan.