Pendidikan berkualiti instrumen penting bina masa depan negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti AIMST, Bedong / Foto ihsan FB Anwar Ibrahim

BEDONG, 7 Jun – Sektor pendidikan merupakan instrumen penting dalam mengangkat martabat rakyat serta membina masa depan negara yang lebih baik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menjadikan pendidikan keutamaan tahunan untuk memastikan akses pendidikan berkualiti dinikmati semua lapisan masyarakat.
  • Perdana Menteri mengumumkan tambahan peruntukan RM1 juta kepada Universiti AIMST bagi memperkukuh bantuan pengajian kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.
  • Kerajaan komited memastikan tiada pelajar tercicir kerana kekangan kewangan dan memberi bantuan RM100 untuk bahan bacaan kepada setiap pelajar.

Ujarnya, pendidikan akan terus menjadi keutamaan kerajaan setiap tahun bagi memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.

Menurut beliau, meskipun negara mencatat prestasi ekonomi yang memberangsangkan dengan kadar pengangguran pada paras rendah dan pelaburan pada tahap tertinggi, tumpuan terhadap pembangunan pendidikan tidak boleh diketepikan.

“Tentu kita bersyukur, tetapi tidak sepatutnya dibuai dengan rasa leka. Antara cabaran utama yang perlu diberi perhatian ialah pendidikan dan bagaimana memastikan kita terus cemerlang,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Penyerahan Geran Kerajaan Tahunan kepada Universiti AIMST di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Presiden MIC, Tan Sri Dr SA Vigneswaran merangkap Canselor serta Pengerusi Universiti AlMST.

Pada majlis itu, Datuk Seri Anwar turut mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada universiti berkenaan bagi memperkukuh bantuan pengajian kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Kerajaan Persekutuan, Kerajaan MADANI akan memastikan anak-anak daripada keluarga paling miskin di universiti ini terus diberi jaminan bantuan. Oleh itu, saya menambah RM1 juta khusus untuk tujuan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan komited memastikan tiada pelajar tercicir daripada mendapat pendidikan akibat kekangan kewangan.

Minggu lalu, kerajaan turut mengumumkan bantuan RM100 kepada setiap pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi bagi membantu pembelian bahan bacaan dan buku.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.