Jaslinda stabil, masih dalam pemantauan rapi

FOTO RTM

TAPAH, 7 Jun – Pendaki wanita, Jaslinda Saludin yang kini dirawat di Hospital Tapah berada dalam keadaan stabil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jaslinda masih memerlukan pemantauan rapi oleh pasukan perubatan.
  • Pemeriksaan awal menunjukkan beliau tidak mengalami kecederaan serius.
  • Perincian masalah kesihatan tidak didedahkan bagi menghormati privasi pesakit dan keluarga.
  • Ditemukan selamat berhampiran Kampung Lubuk Gaharu selepas dilaporkan hilang pada 23 Mei.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, bagaimanapun wanita berusia 49 tahun itu masih memerlukan pemantauan rapi oleh pasukan perubatan.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati Jaslinda tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“Bagi menghormati privasi pesakit dan keluarga, saya tidak boleh kongsi perincian masalah kesihatan.

“Walaupun keadaan pesakit stabil, beliau masih memerlukan pemantauan dan beberapa pemeriksaan lanjut bagi memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik.

“Tempoh rawatan dan kemasukan ke hospital akan ditentukan berdasarkan perkembangan keadaan kesihatan beliau dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.

Terdahulu, Jaslinda dibawa ke Hospital Teluk Intan awal pagi tadi bagi menjalani pemeriksaan lanjut termasuk imbasan CT sebelum dipindahkan semula ke Hospital Tapah untuk rawatan susulan.

Jaslinda ditemukan dalam keadaan selamat berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, kira-kira pukul 5.00 petang semalam selepas dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih pada 23 Mei lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.