Keadilan dan kesaksamaan penanda aras kemajuan negara – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Serahan Pemberian Geran Kerajaan Tahunan kepada AIMST Universiti / Foto BERNAMA

BEDONG, 7 Jun – Kemajuan sesebuah negara tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan pertumbuhan ekonomi, pelaburan atau peluang pekerjaan, sebaliknya melalui sejauh mana keadilan dan kesaksamaan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keadilan, maruah insan dan peluang saksama mesti dijadikan keutamaan dalam usaha memperkukuh kesejahteraan masyarakat.
  • Mengamalkan nilai ihsan, kesederhanaan dan hormat-menghormati untuk membina masyarakat harmoni, seperti ditekankan oleh tokoh kemanusiaan.
  • Generasi muda diseru menolak politik kebencian dan perkauman serta membentuk masa depan berasaskan ilmu, perpaduan dan keadilan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian ekonomi yang baik tidak boleh menjadi alasan untuk kerajaan atau rakyat berasa terlalu selesa, sebaliknya usaha memperkukuh kesejahteraan masyarakat perlu diteruskan.

“Kita tidak boleh berasa selesa dengan pencapaian semasa, sebaliknya perlu terus berikhtiar melakukan yang lebih baik bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Penyerahan Geran Kerajaan Tahunan dan sesi dialog Temu Anwar bersama pelajar Universiti AIMST, di sini, hari ini.

Katanya, perjuangan menegakkan keadilan, maruah insan dan peluang yang saksama perlu sentiasa menjadi keutamaan, sebagaimana dicontohkan oleh tokoh reformasi sosial India, B. R. Ambedkar yang berjaya mengatasi pelbagai bentuk diskriminasi dalam masyarakat.

Beliau turut mengingatkan mengenai pentingnya nilai ihsan, kesederhanaan dan hormat-menghormati dalam membina masyarakat yang harmoni, selaras dengan pandangan Mahatma Gandhi bahawa dunia mempunyai sumber yang mencukupi untuk memenuhi keperluan manusia, tetapi tidak untuk memenuhi ketamakan.

Pada masa sama, beliau menyeru generasi muda supaya menolak politik kebencian dan perkauman serta memainkan peranan dalam membentuk masa depan negara berasaskan ilmu, perpaduan dan keadilan.

Dalam majlis tersebut, Anwar turut mengumumkan tambahan peruntukan RM1 juta kepada AIMST University bagi membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, selain mengekalkan geran tahunan kerajaan sebanyak RM25 juta kepada universiti berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada mendiang S. Samy Vellu atas sumbangan dan peranannya dalam penubuhan Universiti AIMST.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.