
KOTA KINABALU, 7 Jun – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkukuh pelaksanaan Program Food Bank Malaysia menerusi Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) dengan menggalakkan lebih banyak syarikat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi menyertai program berkenaan sebagai rakan strategik.
- Melahirkan ekosistem pengurusan lebihan makanan yang sistematik, inklusif dan berkesan melalui Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB).
- Menumpukan pada membantu komuniti memerlukan, mengurangkan pembaziran makanan dan memelihara kelestarian alam sekitar.
- Lebihan makanan selamat dikumpul, diurus mengikut prosedur dan disalurkan melalui NGO; projek rintis KFC Sabah akan diperluas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif yang diperkenalkan pada Disember tahun lalu itu bertujuan mewujudkan ekosistem pengurusan lebihan makanan yang lebih sistematik, inklusif dan berkesan.
Menurut beliau, pelaksanaan i-FB memberi tumpuan kepada tiga objektif utama iaitu membantu komuniti yang memerlukan, mengurangkan pembaziran makanan serta memelihara kelestarian alam sekitar.
“Lebihan makanan daripada restoran akan dikumpulkan dan diuruskan mengikut prosedur yang ditetapkan bagi memastikan ia kekal bersih, selamat serta berkualiti sebelum diagihkan kepada kumpulan sasar yang memerlukan,” katanya selepas melancarkan projek i-FB@KFC di Kota Kinabalu, hari ini.
Menerusi projek tersebut, lebihan makanan yang masih selamat untuk dimakan daripada restoran KFC akan dikumpulkan dan disalurkan kepada golongan memerlukan melalui kerjasama NGO yang dikenal pasti.
Sebagai langkah permulaan, sebanyak 10 restoran KFC di Sabah terlibat dalam pelaksanaan projek itu sebelum ia diperluaskan ke lebih banyak lokasi di seluruh negara.
Datuk Armizan berkata, penglibatan sektor swasta dan NGO amat penting dalam memastikan usaha menyelamatkan makanan dapat dilaksanakan secara berterusan, sekali gus memberi manfaat kepada lebih ramai penerima yang memerlukan bantuan.