
KUALA LUMPUR, 7 Jun – Selangor Red Giants (SRG) terus membuktikan keunggulan mereka dalam saingan Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang Malaysia (MPL MY) apabila mempertahankan kejuaraan buat kali kelima berturut-turut.
- SRG menewaskan Team Vamos 4-0 pada Grand Final Musim Ke-17 di Stadium Juara, Bukit Kiara.
- Jurulatih memuji corak permainan agresif pasukan dan kemampuan mengekalkan momentum hingga tamat perlawanan.
- Pengalaman pemain dan kerja keras berterusan menjadi faktor utama, pasukan kini bersedia menghadapi Mid Season Cup.
Kejayaan itu diraih selepas mereka menewaskan Team Vamos 4-0 pada aksi Grand Final Musim Ke-17 di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Ahad.
Jurulatih SRG, Michael Angelo Bocado berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan anak buahnya sepanjang perlawanan akhir dengan menampilkan corak permainan agresif dan mengekalkan momentum sehingga tamat perlawanan.
“Saya sangat gembira dengan prestasi pasukan hari ini. Semua pemain dan barisan kejurulatihan menjalankan tugas dengan baik. Kami bermain secara agresif sejak perlawanan pertama, berjaya bangkit pada perlawanan kedua dan mengekalkan momentum hingga tamat saingan. Saya berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan pasukan,” katanya kepada media selepas perlawanan.
Tambah beliau, pengalaman luas dimiliki pemain serta kerja keras berterusan seluruh pasukan menjadi antara faktor utama yang membantu SRG kekal sebagai pasukan terbaik negara meskipun sentiasa menjadi sasaran pencabar lain setiap musim.
Mengulas persiapan menghadapi Mid Season Cup (MSC) di Piala Dunia E-Sukan bulan depan, beliau percaya SRG kini berada pada tahap terbaik selepas berjaya mendapatkan semula rentak permainan sepanjang kempen MPL MY.