Maklumat palsu Selat Hormuz, paling banyak diturunkan MCMC

Datuk Fahmi Fadzil ditemui pemberita pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya.

PUTRAJAYA, 16 AprilSebanyak 299 kandungan palsu telah diturunkan setakat 7 pagi tadi, daripada 450 kandungan yang dikenal pasti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sepanjang tempoh 29 Mac hingga pagi Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Isu tol Selat Hormuz: 147 kandungan dimohon turunkan, 122 telah diturunkan; kadar penurunan 66 peratus.
  • Facebook rekod paling banyak sebar maklumat palsu, diikuti TikTok; Threads semakin banyak mengandungi fitnah dan berita palsu.
  • Sebanyak 57 kertas siasatan dibuka berkaitan penyebaran kandungan palsu.
  • Satu kes akan didakwa oleh Timbalan Pendakwa Raya; lima kes lain diarahkan pengkompaunan, jumlah kompaun belum ditetapkan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata selebihnya masih dalam proses tindakan oleh platform terlibat kerana penurunan kandungan adakalanya memerlukan sedikit masa di peringkat platform.

“Dalam isu tol Selat Hormuz sebagai contoh, sebanyak 147 kandungan telah dimohon untuk diturunkan. Setakat pagi Khamis, 122 telahpun diturunkan. Jadi kadar penurunan ialah sebanyak 66 peratus,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini.

Menurut beliau lagi, platform yang paling banyak menyebarkan maklumat palsu ketika ini ialah Facebook dengan 180 kandungan melibatkan pelbagai isu, diikuti TikTok sebanyak 134 kandungan.

“Threads pula kini dilihat antara platform yang semakin banyak mengandungi maklumat fitnah dan berita palsu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sebanyak 57 kertas siasatan telah dibuka setakat ini berhubung penyebaran kandungan palsu berkenaan.

Daripada jumlah itu, satu kes telah diputuskan oleh Timbalan Pendakwa Raya untuk didakwa dalam masa terdekat, manakala lima kes lagi menerima arahan pengkompaunan dengan jumlah kompaun masih belum ditetapkan.