
KUALA LUMPUR, 16 April – Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026 dan Keselamatan Negara (NATSEC) Asia 2026 menjadi platform strategik penting dalam memperkukuh sektor pertahanan negara.
- Memperkukuh diplomasi pertahanan, keselamatan dan pembangunan teknologi ketenteraan di peringkat serantau dan antarabangsa.
- Mempercepat pembangunan industri pertahanan tempatan melalui pemindahan teknologi serta peluang penyelidikan dan pembangunan selaras Dasar Industri Pertahanan Negara.
- Disertai lebih 60 negara termasuk kuasa besar, menjadikan DSA antara platform pertahanan terbesar dengan lebih 1,400 peserta antarabangsa.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, penganjuran pameran itu dilihat penting dalam memperkukuh diplomasi pertahanan, keselamatan serta pembangunan teknologi ketenteraan di peringkat serantau dan antarabangsa.
Ia sekali gus mempercepat pembangunan industri pertahanan tempatan melalui pemindahan teknologi serta penerokaan peluang baharu dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, selaras Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).
“Di sinilah pertemuan antara pembuat keputusan strategik dengan pembuat dasar berlangsung, selain perkongsian kepentingan bersama dalam aspek keselamatan dan pertahanan, kita akan membincangkan isu keselamatan pertahanan dengan tumpuan kepada teknologi serta diplomasi pertahanan.
“Kita mahu dunia tahu Malaysia sedang bergerak ke arah membangunkan keupayaan pertahanan sendiri dalam konteks mencapai strategi pencegahan ‘deterrence’ melalui daya tahan dan kemampuan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita RTM selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Acara dwitahunan itu dijangka disertai lebih 60 negara termasuk negara ASEAN dan rantau Asia, dengan jangkaan kehadiran lebih 1,400 peserta dari dalam dan luar negara.
DSA kali ini turut menyaksikan penyertaan negara utama dunia termasuk Amerika Syarikat dan Rusia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Turkiye, serta negara-negara Eropah, sekali gus menjadikannya antara platform strategik pertahanan terbesar di rantau ini.
DSA & NATSEC 2026 akan berlangsung dari 20 hingga 23 April ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.